Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
BAM: Semangat pemain mampu bawa M'sia lebih jauh

Semangat juang yang ditonjolkan oleh pemain badminton senior mahupun pemain remaja menunjukkan perkembangan positif sukan itu ke arah membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata perkara itu dapat dilihat daripada prestasi baik pemain yang beraksi di kejohanan badminton Masters Thailand dan juga Liga Remaja Kebangsaan BAM-AirAsia.

"Kalau kita lihat, Malaysia layak ke dua daripada lima final pada Masters Thailand. Ini merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan dan menggembirakan. Mereka ada semangat juang baharu jika dibanding dengan dahulu, hanya ada Datuk Lee Chong Wei.

"Mereka ini merupakan pemain muda yang akan bawa cabaran Malaysia pergi lebih jauh jika terus kekal dengan semangat yang ada sekarang. Begitu juga dengan pemain remaja yang beraksi pada kejohanan liga ini. Ia sesuatu yang baharu," katanya kepada pemberita selepas kejohanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu berakhir.

Pada kejohanan Liga Remaja Kebangsaan itu, pasukan Selangor muncul sebagai juara berganda apabila kedua-dua pasukan wanita dan lelaki dinobatkan sebagai juara pada edisi julung kali itu.

Selangor menerima piala kejohanan dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 serta sijil kemasukan ke Akademi Badminton Negara (ABN) bagi setiap kategori daripada penaung BAM, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagi kategori wanita, naib juara diraih oleh Kedah dan diikuti Pulau Pinang dan Sabah di tempat ketiga dan keempat manakala bagi kategori lelaki, Pulau Pinang menjadi naib juara, Johor dan Kuala Lumpur masing-masing dikedudukan ketiga dan keempat.

Mohamad Norza berkata kesemua pemain yang meraih kejuaraan hari ini telah diserap secara automatik ke ABN yang dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini.

"Saya lihat semangat mereka berkobar-kobar apabila kita meletakkan syarat bahawa juara akan mendapat kemasukan automatik ke ABN. Ini adalah impian semua pemain untuk berlatih dibawah satu bumbung dengan pemain idola mereka dan hari ini semangat itu diterjemahkan diperingkat akhir liga," katanya.

Katanya, ABN akan menjadi pusat badminton berprestasi tinggi yang tidak hanya berasaskan kepada bakat sahaja namun melibatkan ketahanan fizikal dan mental pemain.

ABN yang terlekat di Bukit Kiara itu boleh memuatkan 200 pemain keseluruhannya dan terkini BAM mempunyai lebih kurang 70 orang pemain serta 60 pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil. -Bernama

 

Lihat Komen
ADS