Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kebencian kaum terus subur dalam bola sepak England
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 2:52 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Buatlah apa slogan pun, namun kebencian dan fahaman perkauman dalam bola sepak masih berleluasa dan belum ada tanda-tanda ia akan padam.

Bekas pemain kebangsaan England dan legenda Arsenal, Ian Wright, berkata beberapa kejadian pada hujung minggu lalu atau bulan lalu cukup untuk membuktikan fahaman rasisme masih menebal dalam bola sepak.

Antara kes yang dipetik Wright, 54, ialah kenyataan dibuat pemain West Brom Albion, Jay Rodriguez terhadap pertahanan Brighton & Hove Albion, Gaetan Bong.

Rodriguez, 28, adalah penyerang West Brom yang lahir di Burnley, UK, manakala Bong pemain antarabangsa Cameroon.

Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mereka bertembung dan Rodriguez didakwa memicit hidungnya seolah-olah mengelak bau busuk. Kejadian itu segera dilaporkan Bong kepada pengadil.

Tak ada hukuman berat

Persatuan Bola Sepak (FA) England mengesahkan mereka memulakan siasatan kes berkenaan.

Satu lagi insiden yang dirujuk Wright membabitkan pemain Liverpool, Roberto Firmino dan Mason Holgate (Everton).

Tidak dapat dipastikan apa yang disebut Firmino kepada Holgate namun beberapa pemerhati yang melihat gerak bibir pemain Brazil itu dia memaki Holgate dengan bahasa Portugis.

Kata Wright walaupun FA England berusaha mengekang kebencian kaum itu, sukar untuk melihat ia dapat dikekang dalam tempoh terdekat.

"Sudah tentu kita tidak akan melihat perubahan sebenar terjadi sehingga hukuman berat benar-benar dikenakan terhadap sesiapa yang terlibat dalam rasisme.

"Setakat ini berapa kerap anda melihat seseorang pemain didenda atau digantung perlawanan cukup lama atas kesalahan begitu?" katanya dalam tulisan disiar The Sun hari ini.

Malah kata Wright bagi sesetengah kes, isu perkauman cuba diselindungkan dengan tiada hukuman dikenakan ke atas pelakunya.

"Ia sekadar mainan kata-kata saja, tidak lebih daripada itu," katanya.

Untuk membuktikan rasisme belum dapat dibendung, Wright mencadangkan orang ramai melihat kepada hantaran-hantaran di media sosial.

Setakat ini katanya apa yang berlaku memang membimbangkan.

"Anda hanya perlu menoleh ke media sosial untuk melihat bagaimana rasisme menjadi-jadi dengan ketara dan berlaku satu demi satu.

"Kita mungkin hidup di abad ke-21 namun cara isu perkauman ini ditangani macam kita masih berada di zaman Ratu Victoria (1830-an).

Lihat Komen
ADS