Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
TMJ: Mustahil bagi S'gor guna Stadium Bukit Jalil
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 6:07 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Hasrat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue tuan rumah bagi pasukan Selangor pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018 dianggap sebagai satu perkara yang mustahil.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini selepas mendapati stadium tersebut tidak dapat digunakan secara total sepanjang tahun oleh juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

Menurut Tunku Ismail, pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak pengurusan stadium dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi mengkaji perkara itu.

"Pihak pengurusan stadium telah mengesahkan bahawa empat daripada enam perlawanan pertama sebagai tuan rumah perlu dipinda untuk memenuhi jadual acara yang akan dilangsungkan di stadium tersebut dan mungkin lebih banyak lagi pindaan jika pasukan bola sepak kebangsaan atau acara antarabangsa membuat permintaan untuk menggunakan stadium nasional.

"Kedua-dua pihak iaitu pihak pengurusan stadium dan FMLLP telah berusaha untuk bekerjasama bagi mengkaji perkara ini, tetapi adalah mustahil untuk memberi jaminan bahawa stadium tersebut tersedia sepanjang tahun," kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu seperti dipetik di dalam kenyataan FAM.

Pada masa sama, Tunku Ismail enggan melihat FMLLP dipersalahkan sekiranya terdapat perubahan jadual pertandingan yang mungkin berlaku jika FAS tetap berkeras ingin menggunakan stadium itu sebagai venue rasmi.

Justeru, baginda menyarankan agar FAS terus menjadikan Stadium Selayang sebagai venue tuan rumah Selangor seperti yang digunakan pada musim lepas meskipun perlawanan tidak dapat dilangsungkan pada waktu malam akibat masalah lampu limpah yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

"Kita mesti bergerak ke hadapan jadi Selangor tidak boleh memberi alasan yang Stadium Selayang tidak boleh diguna pakai dan adalah menjadi tanggungjawab pasukan Selangor untuk menaik taraf lampu limpah tersebut bagi mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh FMLLP agar boleh beraksi di waktu malam," kata Tunku Ismail.

Sebagai rekod, Selangor kali terakhir menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang tuan rumah pada aksi awal Liga Super 2012 semasa Stadium Shah Alam dibaik pulih. -Bernama

Lihat Komen
ADS