Paling Popular
Terkini

Skuad negara membuktikan berada pada kelas tersendiri apabila mengesahkan tempat ke suku akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 selepas menewaskan Arab Saudi 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan C, malam ini.

Pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menghadiahkan kemenangan bersejarah, sekali gus memastikan Malaysia mara ke pusingan kalah mati dengan penuh bergaya selaku naib juara Kumpulan C di belakang Iraq.

Pada aksi di Stadium Kunshan, China itu, hanya satu perubahan dilakukan pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee pada kesebelasan utama apabila menurunkan R. Kogileswaran menggantikan Jafri Firdaus Chew yang direhatkan selepas aksi kedua berdepan Jordan, Sabtu lepas.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan yang memburu tiga mata berharga dilihat bergelut dalam mencari rentak permainan berikutan permukaan padang yang tidak begitu baik, namun skuad negara berjaya menyerap tekanan untuk mengimbangi perlawanan pada 20 minit pertama.

Gol kemenangan negara hadir pada minit ke-28 selepas hantaran Matthew Davies dari sebelah kanan gagal dikeluarkan dengan kemas pertahanan lawan untuk membolehkan Danial Amier yang tidak dikawal dalam kotak penalti melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Arab Saudi, Amin Al Bukhari.

Detik bersejarah

Tersentak dengan jaringan itu, Arab Saudi bangkit memperkemaskan permainan bagi memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng pertahanan negara dikemudi ketua pasukan, Adam Nor Azlin berjaya mematahkan setiap percubaan pasukan lawan untuk kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Arab Saudi yang mencatat dua keputusan seri dalam aksi kumpulan sebelum ini, menggandakan asakan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi Fahad Al Rashidi namun rembatan dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Skuad bimbingan Daniel Teglia itu terus melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan negara, namun Kim Swee yang dapat menghidu ancaman tersebut bertindak mengubah strategi permainan kepada corak bertahan.

Malaysia yang memiliki kelebihan satu gol terus berusaha keras mempertahankan gawang sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan bersejarah negara pada kempen sulung mereka pada kejohanan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Kim Swee menyifatkan ia satu detik bersejarah buat arena bola sepak tanah air selain memuji barisan anak buahnya yang mempamerkan semangat juang tinggi pada perlawanan tersebut.

Keputusan lebih penting

“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan perlawanan ini dan mara ke suku akhir satu sejarah buat Malaysia selepas apa yang berlaku dalam arena bola sepak tanah air sebelum ini. Mara sehingga ke tahap ini (suku akhir) satu pencapaian yang hebat.

“Barisan pemain negara membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan yang lebih hebat, bukan sahaja berdepan Jordan, tetapi juga Arab Saudi.

“Secara keseluruhan, pemain kita mempamerkan semangat juang dan keazaman tinggi untuk mara ke suku akhir. Saya tidak mahu membicarakan tentang bagaimana kita beraksi dalam situasi seperti ini kerana keputusan lebih penting. Pencapaian hebat kepada bola sepak negara,” katanya.

Pada aksi suku akhir dijadual berlangsung Jumaat ini, menanti Malaysia adalah juara Kumpulan D yang terdiri daripada Korea Selatan, Vietnam, Australia dan Syria, di mana persaingan masih terbuka buat keempat-empat pasukan tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS