Menteri mahu skuad B-23 kekal disiplin hadapi Korea Selatan
Skuad muda negara diminta mengekalkan disiplin sehingga tiupan wisel penamat pada perlawanan suku akhir menentang Korea Selatan pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia Bawah 23 (AFC B-23) esok.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berpesan kepada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu supaya tidak gentar berdepan pasukan lawan kerana mereka sudah membuktikan kesungguhan menang 1-0 ke atas Arab Saudi pada perlawanan terakhir Kumpulan C, dua hari lepas.
“Saya harap pemain kita tidak gentar berdepan Korea Selatan.
"Kim Swee sudah membuktikan bahawa dia dapat menyediakan satu pasukan terbaik menentang Arab Saudi tempoh hari.
"Saya harap kemenangan itu memberi keyakinan kepada pemain untuk tidak perlu takut menghadapi mana-mana pasukan.

“Ini menunjukkan bahawa sekiranya kita ada keyakinan untuk menang, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Digital ILKBS ke arah Transformasi TN50 dengan kerjasama Microsoft Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Khairy turut memuji sistem permainan diguna pakai Kim Swee yang dilihat sangat berkesan sehingga mampu menewaskan pasukan hebat seperti Arab Saudi.
Pasukan muda negara melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali mara ke suku akhir kejohanan AFC B-23 2018 yang kini berlangsung di China.

Pada perlawanan di Stadium Kunshan itu, gol tunggal negara hadir menerusi jaringan Danial Amier Norhisham pada minit ke-28.
Gol tunggal itu sekali gus mengesahkan tempat Malaysia dalam kalangan lapan pasukan terbaik Asia, dengan berada di kedudukan kedua Kumpulan C di belakang Iraq.
- Bernama

