Syarikat sukan antarabangsa pecat 'penyelia' larang pekerja solat
Syarikat pengedar barangan sukan antarabangsa JD Sports memecat kakitangannya yang melarang pekerja beragama Islam bersembahyang semasa bekerja.
Syarikat itu berkata larangan di sebuah kedainya di ibu negara itu bukan polisi mereka dan melanggar hak pekerja sebaliknya “tindakan seorang individu”.
“Kami tidak akan bertoleransi terhadap sebarang kelakuan yang tidak menghormati hak budaya dan agama masing-masing.
“Kami telah menyiasat kejadian ini dan mengenalpasti staf yang bertanggungjawab atas hal ini.
“Perkhidmatan individu tersebut telah ditamatkan serta-merta atas salah lakunya selepas melaksanakan siasatan dalaman secara terperinci,” kata syarikat itu dalam penjelasan di Facebook.
Sebelum ini, larangan di JD Sports Pavilion itu dilaporkan tular di media sosial.
Seorang kakitangan didakwa penyelia dikatakan mengeluarkan arahan berbunyi:
“Perhatian kepada semua kakitangan baharu, di JD tidak boleh solat atau sembahyang. Jika anda tidak boleh terima, sila hantar (surat) peletakan jawatan anda.”
Sementara itu, JD Sports juga menegaskan, walaupun ia sebuah syarikat antarabangsa, mereka tetap akan menerap dan menjaga nilai budaya serta kepercayaan agama masing-masing.
“Kami tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang melibatkan unsur-unsur diskriminasi dan akan terus mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan prinsip dan nilai ini,” kata syarikat itu.

