EPL | Kemunculan pemain antarabangsa Chile, Alexis Sanchez, di Old Trafford memang menggembirakan penyokong serta pengurusnya Jose Mourinho.

Namun dalam kem skuad Manchester United (MU) itu, ia secara tidak langsung menghadirkan khabar duka buat beberapa pemain.

Pemain terbabit bukan saja tidak lagi terjamin untuk diturunkan sebagai pilihan Mourinho, malah terpaksa membanting tulang lebih teruk untuk membuktikan mereka layak beraksi.

Lihat saja pencapaian Sanchez bersama Arsenal. Setakat ini dia membuat 166 kemunculan bersama The Gunners, dan menghasilkan 80 gol buat skuad berkenaan.

Berikut adalah pemain yang 'terancam' selepas Sanchez menandatangani kontrak selama empat setengah tahun bersama MU.

  • Zlatan Ibrahimovic

Dia memiliki saiz badan yang sukar ditandingi. Dia juga memiliki kemahiran mengawal bola yang tinggi. Namun pada usia 36 tahun kelibat Ibrahimovic lebih banyak diingat daripada dilihat.

Tambahan pula pemain kelahiran Sweden 36 tahun silam itu berdepan dengan masalah kecergasan dan kecederaan sejak tahun lalu.

Nampaknya selepas ini Ibrahimovic terpaksa lebih banyak melayan mulutnya yang gemar bercakap tanpa tapisan itu berbanding melayan pemain kelab lawan. Kecualilah dia berhijrah ke pasukan lain, dan itu pun jika ada kelab yang berminat kepadanya.

  • Ander Herrera

Mengikut usianya, pemain dari Bilbao, Sepanyol ini masih mempunyai peluang yang wajar untuk menjadi pemain berbisa. Herrera baru berusia 28 tahun.

Namun kemampuannya agak terbatas, malah hanya muncul mewakili negaranya sejak akhir 2016.

Berbanding Sanchez - dan kecuali ada perkara luar jangka - apa sangatlah Herrera dalam perkiraan pengurus pasukan berbanding Sanchez.

Dalam keadaan perlu meminimumkan kelemahan, Mourinho tentu melihat Sanchez sebagai jawaban berbanding Herrera.

  • Juan Mata

Seorang lagi pemain antarabangsa Sepanyol yang ada dalam koleksi Mourinho.

Di atas padang dia mungkin boleh menjadi mata kepada jentera serangan Setan Merah itu. Setakat ini pun dia sudah bermain 25 kali untuk skuad berkenaan.

Namun nasib bekas pemain Chelsea itu dianggap bijak jika mula mengintai pintu keluar mulai sekarang dan memulakan perancangan bersama kelab lain pada musim perpindahan akan datang.

Nasib mungkin menyebelahinya lebih lama jika mampu mempamerkan aksi yang luar biasa semasa Piala Dunia mulai pertengahan Jun ini.

  • Anthony Martial

Dia menjadi pemain termahal dibeli MU - ketika dia berpindah dari Monaco tiga musim lalu. Namun di sebalik peruntukan kewangan yang besar diberikan untuk membawa Martial ke England, jasanya dianggap tidak setara dengan kos yang dikeluarkan.

Dia memang memiliki keistimewaan tersendiri. Misalnya mampu mempengaruhi rentak permainan apabila diperlukan.

Kebolehannya di posisi pertahanan dan serangan juga menjadikan Martial pemain yang baik. Namun ketajaman gerakan pemain dari Perancis yang kini berusia 22 tahun itu bergantung kepada kedudukan pilihan pengurus.

Semasa MU dibawah kendalian Louis van Gaal, Martial diletakkan di bahagian tengah. Namun terbukti ia bukan posisi yang terbaik untuknya.

  • Jesse Lingard

Dia bolehlah dianggap bintang dalam persaingan EPL setakat ini. Kemahirannya menjaringkan gol atau mencipta peluang buat rakan memang dipuji.

Setakat ini pemain berusia 25 tahun itu menjadi penjaring kedua terbanyak buat MU selepas Martial. Dia juga pemain ke-12 paling kerap mendapat kepercayaan Mourinho pada musim semasa.

Namun Sanchez - yang banyak pengalaman termasuk bersama Barcelona - mungkin pilihan yang lebih baik buat pengurus yang menggelarkan dirinya sendiri sebagai The Special One itu.

  • Marcus Rashford

Bekas pemain kebangsaan England Alan Shearer berpendapat pemain paling terancam oleh kemunculan Sanchez ialah Rashford.

Baru berusia 20 tahun namun kelincahan dia sangat bermanfaat buat Mourinho.

Untuk musim ini Rashford berjaya menghasilkan sembilan gol buat MU, selain melakukan lapan kali umpanan tepat buat rakannya menggegarkan gawang lawan.

Mungkin Mourinho boleh terus menggunakan kudrat Rashford, tetapi pada masa sama untuk menjadikan pasukannya benar-benar kemas, Sanchez adalah pilihan yang lebih baik.