Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sanchez pergi Arsenal menang
Diterbitkan:  Jan 25, 2018 3:54 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Hanya beberapa hari selepas ditinggalkan Alexis Sanchez, Arsenal mencetak kejayaan dan melangkah ke perlawanan akhir Piala Liga FA England.

Dan kejayaan itu dilakarkan The Gunners ke atas kelab elit yang kini berada di tempat ketiga liga Inggeris, Chelsea.

Perlawanan separuh akhir di Emirates awal pagi tadi (waktu Malaysia) menyaksikan Arsenal menundukkan The Blues 2-1.

Juga menarik, satu daripada gol Arsenal itu dijaringkan dengan bantuan pemain Chelsea sendiri, Antonio Rudiger, pada minit ke-12.

Gol kemenangan The Gunners disumbangkan oleh Granit Xhaka.

Mengulas kemenangan itu Arsene Wenger berkata, ia adalah "berkat" penghijrahan Sanchez.

Kata Wenger, 68, dengan berangkatnya Sanchez ke Old Trafford, pemain Arsenal kini benar-benar jelas dengan apa yang ada dalam kem mereka dan semakin fokus.

"Kami kehilangan pemain yang hebat, namun ketiadaan dia juga menamatkan apa yang tidak pasti sejak musim lepas.

"Tanpa fokus yang penuh, pemain gagal memberikan persembahan terbaik," katanya.

Xhaka jadi penyelamat

Eden Hazard meletakkan Chelsea di depan dengan jaringan pada minit ketujuh. Kira-kira lima minit kemudian, pemain The Blues sekali lagi membuat jaringan.

Ia sepatutnya khabar yang menggembirakan penyokong Chelsea, kecuali bola itu dimasukkan ke gawang sendiri. Ia dilakukan oleh pemain antarabangsa Jerman, Rudiger.

Jaringan ke gol sendiri itu meletakkan Arsenal kembali dalam keadaan bersemangat. Hasilnya banyak aksi mencemaskan berlangsung di depan gawang kedua-dua pasukan.

Stadium Emirates bergema dengan sorakan kira-kira 15 minit selepas separuh masa kedua bermula. Semuanya atas jasa Granit Xhaka.

Dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley pada 25 Feb ini, Arsenal bakal dicabar anak buat Pep Guardiola, Manchester City.

Wenger perlu membuktikan kewujudannya bersama Arsenal masih relevan ketika semakin ramai penyokong The Gunners mendesak dia disingkirkan.

Arsenal kini berada di tempat keenam liga dengan 42 mata, manakala City jauh di depan dengan 65 mata.

Lihat Komen
ADS