Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Tok Gajah berhajat julang paling kurang satu piala

Skuad Pahang menyasarkan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu piala kejuaraan pada cabaran Liga Super musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata sasaran itu dilihat realistik dengan peruntukan pengurusan sebanyak RM20 juta, sama seperti peruntukan musim sebelumnya.

"Sudah semestinya kita mahu muncul sebagai Juara Liga Super dan Juara Piala Malaysia...tetapi sekurang-kurangnya kita mahu membawa pulang satu daripadanya.

"Saya percaya misi ini boleh dicapai dengan barisan pengurusan, pemain tempatan dan import yang memiliki kemahiran serta semangat juang tinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran tiga jersi baharu skuad Tok Gajah bagi musim 2018 di Dewan Tun Razak di Temerloh, hari ini.

Saingan sengit musim ini

Turut hadir ialah Naib Presiden PBNP Datuk Seri Zamry Ramly, Pengurus Pasukan Datuk Sufian Awang dan Ketua Jurulatih Skuad Tok Gajah Dollah Salleh.

Pada majlis itu, Pahang juga memperkenalkan empat pemain import baharu iaitu Sergio Ezequil Unrein dari Argentina, Alex De Moraes Gomes (Brazil), Chan Vathanaka (Kemboja) dan Muhammad Safuwan Baharudin (Singapura) bagi kuota pemain import pemain ASEAN.

Dollah menjangkakan saingan musim ini agak sengit berbanding musim lalu apabila semua pasukan bersaing untuk menampilkan barisan terbaik mereka dan beliau percaya pasukan ini boleh memberikan saingan dalam Liga Super musim ini dengan barisan pemain yang bagus.

“Saya berharap dua tenaga import baharu, Sergio Ezequil Unrein dan Alex De Moraes Gomes dapat menemui rentak untuk membantu pemain import sedia ada seperti Mohamadou Sumareh memberikan cabaran kepada pasukan lain.

Kehadiran pemain hebat seperti Chan Vathanaka juga diharapkan boleh memberi impak kepada pasukan, begitu juga dengan Safuwan Baharuddin," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan Matthew Davies berkata beliau optimis mereka mampu mempamerkan persembahan cemerlang dengan adunan pemain baharu dan lama dalam pasukan.

Pada majlis itu, Pahang juga memperkenalkan tiga jersi baharu iaitu kuning untuk perlawanan di gelanggang sendiri, putih (gelanggang lawan) dan hitam (jersi ketiga).

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS