Selepas mendapat kecaman hebat di laman sosial, pengurusan Leeds United FC (LUFC) bersetuju menukar logo mereka yang baru diperkenalkan minggu lalu.

Melalui satu kenyataan rasmi, pengurusan kelab bola sepak Inggeris itu berkata mereka menerima kritikan penyokong dan berterima kasih atas maklum balas yang diberikan.

Pengurusan turut menjelaskan bahawa penyokong boleh berkongsi idea mereka untuk disenarai pendek oleh panel sebelum logo baru diputuskan melalui undian.“Kami setakat ini sudah menerima beberapa rekaan dan idea, namun bagi memastikan setiap penyokong boleh memberikan pendapat, kami menyeru penyokong berkongsi idea untuk logo baru melalui emel.“Daripada idea dan inspirasi yang dikongsi penyokong, satu senarai pendek akan dipilih oleh panel yang terdiri daripada penyokong sebelum diundi oleh ahli kelab dan pemegang tiket semusim pada 21 Februari depan," kata kenyataan itu yang menjangkakan logo baru akan diumumkan hujung bulan depan.

Penyokong LUFC sebelum ini mengeluarkan petisyen yang ditujukan kepada pemilik kelab Andrea Radrizzani untuk membantah logo yang diperkenalkan pengurusan dan berjaya mendapat 50,000 tandatangan dalam tempoh 10 jam.

Kritikan terhadap logo itu turut dikongsi oleh legenda kelab bola sepak itu, Ian Harte.

Pengurusan LUFC bersetuju untuk membatalkan logo mereka sebelum ini yang dikatakan melalui "enam bulan kajian dengan khidmat rundingan 10,000 orang".