Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Penyokong Red Giants mahu stadium Shah Alam jadi stadium rasmi

Penyokong Red Giants menuntut kerajaan negeri Selangor mengetepikan kemelut politik dan membenarkan pasukan juara Piala Malaysia 33 kali itu menjadikan Stadium Shah Alam sebagai stadium rasmi bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Mohd Firdaus Abdul Mutalib, berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya menjadikan mereka sebagai mangsa kemelut politik yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) apabila tidak dapat menyaksikan pasukan kegemaran mereka bermain di gelanggang yang cukup sinonim sejak sekian lama itu.

“Jangan campur adukkan isu politik dengan bola sepak. Jika Stadium Shah Alam wujud untuk kegunaan rakyat, kenapa kerajaan negeri yang kononnya melaungkan kerajaan peduli rakyat menafikan hak kami dan skuad The Red Giants?

“Kami mahu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan hal ini dan mengapa dua pasukan lain iaitu PKNS FC dan FELCRA pula dibenar beraksi di Stadium Shah Alam,” katanya pada sidang media yang dihadiri lebih 50 wakil daripada 14 kelab penyokong The Red Giants, di sini, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan penafian hak beraksi The Red Giants di stadium keramat itu masih berlarutan, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Mohamed Azmin dalam masa terdekat bagi menggesa kerajaan negeri menjawab tuntutan penyokong pasukan bola sepak tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penyokong The Red Giants, Mohammad Anif Rana Manzoor turut sependapat dengan Mohd Firdaus dan menegaskan mereka akan terus berusaha mendapatkan kembali hak pasukan tersebut untuk menjadikan Stadium Shah Alam sebagai venue rasmi.

Katanya, sungguhpun Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menawarkan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, sebagai venue rasmi, namun Mohamed Azmin harus memberi jawapan paling konkrit punca sebenar The Red Giants tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam.

“FAS telah tiga kali memohon supaya Stadium Shah Alam menjadi venue rasmi tapi kerajaan negeri tetap tak beri kebenaran. Sekiranya tiada kata putus, kami merancang untuk membawa isu ini ke Istana Selangor,” katanya.

Bagi Mohd Faizal Wahid pula, Stadium Shah Alam merupakan lambang kebanggaan pasukan Selangor dan kerajaan negeri serta FAS disaran segera berbincang seterusnya membuat keputusan yang memberi manfaat kepada penyokong dan semua pihak.

Beliau berkata perbezaan fahaman politik harus diketepikan kerana sukan merupakan medium penyatuan rakyat maka kerajaan negeri serta FAS mesti mengambil pendekatan yang paling bernas dalam menyelesaikan konflik tersebut.

Kemelut pasukan The Red Giants menjadi hangat apabila skuad pimpinan jurulatih P Maniam itu gagal mendapatkan gelanggang rasmi untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini apabila tidak dibenar beraksi di Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue rasmi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS