Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
UiTM FC mahu kekal momentum bertemu JDT II
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 12:52 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Momentum kemenangan Pasukan UiTM FC pada aksi pembukaan musim Liga Premier 2018 semalam meningkatkan keyakinan pasukan itu memberikan keputusan terbaik ketika bertemu pasukan JDT II pada minggu depan, kata Ketua Jurulatih pasukan, Wan Mustaffa Wan Ismail.

Beliau berkata pasukan The Lion Troops telah menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri sebaik mungkin yang sekali gus memberikan motivasi buat pasukan bagi mengharungi cabaran musim liga ini.

"Kita telah ambil kesempatan penuh bermain di laman sendiri. Pemain kita telah bermain bersungguh-sungguh pada separuh masa pertama dan dapat banyak peluang.

"Cuma, pada separuh masa kedua, pasukan berpengalaman Pulau Pinang cepat menyesuaikan diri dan cuba bangkit dengan strategi sendiri," katanya ketika ditemui pemberita sebaik tamat perlawanan di Stadium UiTM di Shah Alam, malam tadi.

Pasukan UiTM FC memulakan kempen Liga Premier 2018 dengan langkah kanan selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada aksi pembukaan liga itu.

Wan Mustaffa mengakui Pulau Pinang bukannya pasukan mudah untuk ditandingi dan berpuas hati dengan pasukan kendaliannya yang menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan memastikan tiga mata sulung menjadi milik mereka.

Beliau berkata strateginya mempertaruhkan pemain import dalam perlawanan sulung itu membuahkan hasil apabila dua pemain import, Lucas Ramon Pugh dan Dao Bakary masing-masing menhadiahkan gol pada minit ke-85 dan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Pasukan UiTM FC berada pada kedudukan keenam dalam saingan Liga Premier musim lepas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pulau Pinang Zainal Abidin Hassan berkata pasukannya harus memperbaiki banyak kelemahan yang dikenal pasti dalam perlawanan itu.

"Amat mengecewakan dengan keputusan. Dalam separuh masa kedua, Pulau Pinang menguasai permainan untuk mencari gol penyamaan dan kita dapat gol penyamaan.

"Tetapi tumpuan mencari gol kedua sampai melekakan corak permainan," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS