Laporan: Kereta Thanabalan sudah ditemui
Kereta pemain bola sepak kebangsaan, N Thanabalan, ditemui di sebuah stesen minyak di Ampang, awal pagi tadi, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.
Menurut Berita Harian, beliau berkata kereta Proton Iswara berwarna biru itu ditemui kira-kira pukul tiga pagi tadi selepas pihak polis mendapat maklumat daripada orang awam.
"Kita sedang mengumpulkan maklumat bagi siasatan lanjut termasuk mengenalpasti suspek. Siasatan sedang dilakukan Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak," katanya seperti dipetik.
Semalam, kereta penyerang Negeri Sembilan itu didapati hilang di sekitar Batu Caves, ketika menghadiri perayaan Thaipusam.
Thanabalan membuat laporan di IPD Gombak, dan memuatnaik status di Facebook bagi meminta bantuan orang ramai agar dapat membantunya mendapatkan semula kereta itu.
Beliau turut berkata akan membuat makluman di Facebook jika telah menjumpai keretanya, namun setakat ini belum berbuat demikian.

