Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Perlis diarah buat persiapan rapi kejohanan Woodball Dunia
Diterbitkan:  Feb 2, 2018 4:15 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Perlis, selaku tuan rumah Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) pada tahun 2020, diarah membuat persiapan rapi supaya penganjuran edisi ke-9 itu sempurna dan hebat serta melonjak nama Perlis di persada antarabangsa.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddi Putra Jamalullail selaku penaung diraja dan pengasas Persatuan Woodball Perlis (PWPs) juga bertitah persatuan hendaklah mengambil tindakan proaktif termasuk menyediakan pasukan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Menurut siaran media PWPs di Kangar hari ini, baginda turut menegaskan tentang keperluan menaik taraf dan menyelenggara beberapa gelanggang woodball sedia ada dalam masa dua tahun ini sebaik mungkin agar temasya tersebut berlangsung dengan meriah.

Gelanggang woodball di Kompleks Sukan Tuanku Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra dipilih oleh Persatuan Woodball Malaysia (MWA) sebagai venue utama kejohanan tersebut.

Presiden Persekutuan Woodball Asia (AWF) Thomas Kok dan presiden MWA, Elaine Tan yang berada di Perlis baru-baru ini mempersembahkan taklimat berhubung kejohanan itu kepada Tuanku Syed Faizuddin. Turut hadir Presiden PWPs Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal turut hadir.

Menurut kenyataan itu, kejohanan selama enam hari di Perlis itu akan diadakan pada Julai atau Ogos 2020, dan tarikhnya akan umumkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuanku Syed Faizuddin dijangka mengetuai kontinjen kecil PWPs untuk menerima bendera kejohanan sebagai tuan rumah edisi ke-9 di Teak Resort, Chengdao, Chiangmai di Thailand pada 29 Julai ini.

Thailand ialah penganjur edisi ke-8 kejohanan tersebut. Kejohanan WCWC diadakan selang setahun. -Bernama

Lihat Komen
ADS