mk-logo
Sukan
Kementerian pertimbang e-sukan di sekolah
Diterbitkan:  Feb 6, 2018 9:19 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Kementerian Pendidikan sedang mempertimbangkan e-sukan sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran atau kokurikulum sekolah, kata Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata perbincangan mendalam akan dilakukan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melihat perkara itu secara menyeluruh.

"Saya dimaklumkan KBS sedang merancang dan menyediakan modul yang akan dibawa kepada kementerian kami. Kementerian Pendidikan terbuka untuk sebarang cadangan.

"Pada pandangan saya, sukatan pelajaran perlu menjadi sesuatu yang boleh diubah dan ditambahbaik mengikut perubahan masa," katanya kepada Astro Awani ketika ditemui selepas menghadiri pelancaran Battle Arena di Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau berkata perbincangan bersama KBS itu juga akan meneliti pendekatan bagi menjadikan e-sukan sebagai sukatan pelajaran atau kokurikulum.

Kamalanathan berkata ketika ditanya mengenai pengenalan mata pelajaran e-sukan pertama di Indonesia di SMA 1 PKSD Jakarta beberapa bulan lalu.

Selain menjadikan e-sukan sebagai salah sebuah subjek pelajaran, sekolah tersebut turut menyediakan program biasiswa bagi pelajar yang mahu ceburi bidang ini dengan lebih mendalam, lapor CNN Indonesia.

Sementara itu Kamalanathan berkata beliau juga menggalakkan mana-mana sekolah yang mahu mewujudkan kelab e-sukan tersendiri namun memahami kekangan dihadapi mereka seperti masalah kewangan.

"Sekiranya ada ruang, mereka boleh memperkenalkan dan mempromosikan e-sukan tapi tertakluk dengan apa yang ada buat masa ini," tambahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menyatakan kerajaan akan terus menyokong sebarang usaha bagi membantu perkembangan industri e-sukan di negara ini.

 

Lihat Komen
ADS