Berikutan terlalu banyak melakukan kesilapan kecil, gandingan beregu negara gagal menyumbang dua mata berharga pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, semalam.

Dalam aksi kumpulan C, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas kepada Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-16, 19-21, 20-22 manakala Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula tunduk kepada Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash 17-21, 11-21.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara Cheah Soon Kit berkata V Shem-Wee Kiong telah mempamerkan aksi terbaik mereka namun kesilapan kecil yang sering dilakukan itu menyebabkan mereka terpaksa akur kepada pasangan Thailand.

"Kami mengharapkan beregu pertama untuk meraih satu mata. Ya, mereka telah lakukan yang terbaik dalam permainan namun ada masa mereka melakukan terlalu banyak kesilapan kecil menyebabkan lawan mengambil peluang untuk terus meningkatkan permainan serta semakin berkayinan dan mereka menang,” katanya kepada pemberita.

Mengenai persiapan untuk perlawanan seterusnya, khususnya berdepan Taiwan pada Khamis, Soon Kit yang juga bekas pemain beregu kebangsaan berkata tidak akan ada perubahan besar yang bakal dilakukan sebaliknya akan berbincang dengan pemain mengenai strategi yang boleh dilakukan untuk mengelakkan kesilapan sama berulang.

"Buat masa ini mereka pemain terbaik kita. Selaku beregu, kita perlu menunjukkan kemampuan kita. Kita perlu duduk dan menganalisis masalah. Kita perlu lebih berhati-hati dalam pertemuan penting akan datang menentang Taiwan (Khamis ini),” katanya.

Sementara itu, V Shem mengakui beberapa kesilapan kecil dan sedikit gangguan angin menyebabkan rentak permainan agak terganggu.

"KIta mungkin tergesa-gesa untuk cepat dapatkan mata sebab itu banyak kesilapan mudah. Ada sikit angin tadi tapi kita tidak dapat kawal dan terpaksa kalah. Agak mengecewakan," katanya.

Wee Kiong pula berkata ada beberapa hantaran daripada lawan yang agak mengelirukan.

"Sesiapapun yang turun ke gelanggang memang mahu sumbang mata. Yang penting kita sudah usaha dengan apa yang kita ada. Kita akan balik dan analisis lagi (permainan) dan kami akan bangkit semula," katanya.

Malaysia akan berdepan Myanmar hari ini sebelum menentang Taiwan pada Khamis.

- Bernama