Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PFAM selar tindakan dedah senarai gaji pemain Kedah
Diterbitkan:  Feb 7, 2018 7:10 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menyelar tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menularkan senarai gaji pemain skuad Liga Super Kedah bagi musim 2018.

Setiausaha PFAM Ahmad Fauzi Saari berkata isu berkaitan gaji merupakan perkara yang amat sensitif dan kebocoran maklumat itu adalah pencabulan privasi terhadap pemain.

Beliau berkata tindakan itu adalah tidak profesional dan bertentangan dengan nilai integriti serta prinsip profesionalisme yang ditekankan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

"Ia boleh memberi ancaman keselamatan kepada pemain dan keluarga pemain. Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya maklumat yang dipaparkan itu adalah tidak benar, sekali gus memberi kesan negatif kepada pemain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, PFAM mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan untuk mengelak perkara sama berulang.

Senarai gaji pemain skuad Liga Super Kedah itu tular di laman Facebook hari ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS