Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
BATC: Indonesia kejutkan China 3-2 berpasukan wanita
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 5:34 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Pilihan kedua, China dikejutkan apabila tumpas 2-3 kepada pilihan ketujuh, Indonesia dalam kategori wanita pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, di Alor Setar hari ini.

Dalam aksi Kumpulan Z itu, pemain perseorangan pertama China, Chen Yufei tewas kepada Fitriani Fitriani 21-16, 12-21, 15-21, manakala pasangan beregu, Du Yue-Li Yin Hui terpaksa akur kepada Greysia Polii-Apriyani Rahayu 18-21, 12-21.

China bangkit merapatkan kedudukan menerusi He Bingjiao yang menumpaskan Gregoria Masriska Tunjung 23-12, 21-10, namun saingan mereka berakhir apabila beregu Cao Tong Wei-Yu Zheng tewas di tangan Della Destiara Haris-Rizki Amelia Pradipta in 14-21, 21-19, 21-23.

Chen Xiaoxin menyumbangkan mata kedua China setelah mengalahkan Ruselli Hartawan, 21-17, 21-17.

Sementara itu, Jepun membuktikan kemampuan mereka selepas membenam India 4-1, biarpun menerima kejutan awal apabila Akane Yakmaguch tumpas 19-21,15-21 kepada P.V Sindhu.

Namun, pasukan Jepun tidak tertekan walaupun ketinggalan apabila Sayaka Sato meraih mata pertama Jepun, selepas menewaskan K Sri Krishna Priya 21-12, 21-12.

Skuad Jepun meneruskan kecemerlangan menerusi Aya Ohori yang membenam P Ashwini 21-14, 21-12, manakala pasangan beregu, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto mengatasi G Sanyogita-S Prajakta 21-17, 21-17 dan Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi menewaskan P Ashwini-R N Sikki 21-18, 21-18.

Pada perlawanan Kumpulan X, Korea Selatan menumpaskan Taiwan 5-0, dengan mata pertama menerusi Sung Ji Hyun yang mencatat kemenangan 21-12, 23-21 ke atas Pai Yu Po manakala pasangan beregu Lee So Hee-Shin Seung Chan menewaskan Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung 21-19, 21-13.

Jang Mi Lee pula mengalahkan Lee Chia Hsin 21-11, 21-10 manakala Chang Ye Na yang bergandingan dengan Hye Rin Kim mengetepikan cabaran Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han 21-13, 21-17, dan Joo I Jeon menyumbangkan mata kelima Korea Selatan selepas menewaskan Chiang Mei Hui 21-19, 21-18.

Dalam acara Berpasukan Lelaki, China membenam Hong Kong 5-0 dalam Kumpulan A, dengan mata pertama diperoleh menerusi Shi Yuqi yang mencatat kemenangan mudah 21-1, 21-10 ke atas Angus Ng Ka Long.

He Jiting yang berpasangan dengan Tan Qiang, bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum mengatasi Or Ching Chung-Tang Chun Man 12-21, 21-15, 21-15.

Qiao Bin turut menghadapi situasi sama apabila diheret beraksi dalam tiga set menentang Vincent Wong Wing Ki sebelum meraih kemenangan 21-11, 19-21, 21-13.

Pasukan China terus menguasai perlawanan apabila Hang Chengkai-Zhou Haodong menyumbangkan mata keempat setelah menumpaskan Chang Tak Ching-Yeung Ming Nok 21-12, 21-14, sebelum Zhao Junpeng melengkapkan kemenangan pasukan gergasi dunia itu mengalahkan Lee Cheuk Yiu 21-19, 21-14.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS