Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Malaysia layak ke suku akhir, benam Taiwan 5-0
Diterbitkan:  Feb 9, 2018 6:26 AM
Dikemaskini: Feb 9, 2018 3:53 AM

Skuad lelaki negara menempah tempat ke suku akhir selepas membenam Taiwan 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Setar semalam.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan teratas Kumpulan C selepas mencatat dua kemenangan. Skuad negara meraih kemenangan pertama apabila menumpaskan Myanmar 5-0 kelmarin, selepas tumpas 2-3 kepada Thailand pada perlawanan pembukaan, Isnin lepas.

Pemain perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa berhempas pulas sebelum menyumbangkan mata pertama Malaysia, selepas menumpaskan Wang Tzu Wei 17-21, 21-13, 21-15 dalam masa 57 minit permainan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyumbangkan mata kedua negara dengan kemenangan 14-21, 21-19, 21-16 dalam masa 56 minit ke atas Lee Jhe Huei-Lee Yang, sebelum Lee Zii Jia memastikan kemenangan Malaysia dengan menumpaskan Hsu Jen Hao 21-16, 21-13 untuk meraih mata ketiga.

Mata keempat Malaysia diperoleh menerusi beregu kedua, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menewaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-14, 20-22, 21-14.

"Pada perlawanan itu, kami tidak fikir untuk habiskan permainan dengan segera walaupun tahu kita sudah menang 3-0. Kita mahu menang perlawanan ini secara serius kerana jika kita menang 3-2, kita perlu mengira jumlah mata yang boleh menjejaskan peluang Malaysia,” kata Yew Sin.

Pemain perseorangan ketiga, Iskandar Zulkarnain Zainuddin melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara selepas mencatat kemenangan 21-19, 21-15 ke atas Lin Yu Hsien.

Berikutan jumlah mata diperoleh, Malaysia muncul juara kumpulan, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir.

BATC 2018 adalah pusingan kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber 2018 di Bangkok, Thailand, pada Mei depan.

Malaysia perlu mara ke separuh akhir BATC 2018 untuk layak secara merit beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas.

Berdepan Hong Kong hari ini

Skuad lelaki negara akan berdepan Hong Kong pada perlawanan suku akhir hari ini.

Berdasarkan undian ini, Malaysia dilihat mempunyai peluang cerah untuk ke separuh akhir sekali gus layak ke pusingan akhir Piala Thomas secara merit.

Malaysia muncul juara Kumpulan C selepas menewaskan Taiwan 5-0, diundi berdepan naib juara Kumpulan A, Hong Kong pada sesi undian yang dijalankan sejurus selepas semua perlawanan berpasukan lelaki tamat malam tadi.

“Saya yakin boleh main lebih baik lagi dari hari ini untuk pertemuan suku akhir esok,” kata Ong Yew Sin selepas mengutip mata keempat pasukan negara.

Yew Sin yang berpasangan dengan Teo Ee Yi turun selaku beregu kedua mengutip mata keempat selepas menewaskan pasangan Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-14, 20-22, 21-14.

Skuad badminton negara pada awalnya berada dalam situasi yang agak membimbangkan apabila tewas kepada Thailand 2-3 pada perlawanan pembukaan Kumpulan C.

Namun skuad negara bangkit semula menewaskan Myanmar 5-0 dan Taiwan 5-0.

China yang muncul juara Kumpulan A akan berdepan India manakala juara Kumpulan B, Korea Selatan akan berdepan Thailand, sementara Jepun pula akan berdepan Indonesia.

Kejohanan ini juga merupakan kelayakan untuk ke Piala Thomas 2018 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Skuad negara yang kini berada di ranking ketujuh perlu layak ke separuh akhir untuk layak secara merit ke kejohanan berprestij itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS