Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tiga detik pisahkan Amar dari gelaran juara Asia

Hanya tiga detik memisahkan pelumba berbasikal trek lelaki remaja kebangsaan, Amar Danial Masri daripada merangkul gelaran juara Asia selepas hanya meraih pingat perak acara 1km ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 di Nilai, hari ini.

Pada perlumbaan di Velodrom Nasional di Nilai, emas seakan berpihak kepada Amar selepas beliau mempamerkan kayuhan menakjubkan untuk mencatat kepantasan 1:03.375 saat.

Bagaimanapun, catatan masanya itu dipintas pelumba Thailand, Wachirawit Saenkhamwong dengan hanya masa 0.338s untuk meraih pingat emas sekali gus menghampakan penyokong negara yang hadir bagi menyaksikan kejutan dicipta pelumba negara itu.

Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan tersebut, Amar ,yang membuat penampilan pertamanya dalam acara itu, berkata beliau tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut meskipun terlepas peluang dari mencipta kejutan di laman sendiri.

“Ketika di pusingan kelayakan masa yang saya catat tidak begitu baik kerana saya fikir mahu menjimatkan tenaga pada perlumbaan akhir nanti.

”Pada pusingan akhir, saya pula cuma hanya mahu lakukan yang terbaik tetapi tidak menyangka mampu mencipta satu kejutan sekali gus meraih pingat,” jelas pelumba berasal dari Mersing, Johor berusia 18 tahun itu.

Pingat gangsa acara itu menjadi milik pelumba Kazakhstan, Viktor Golov dengan kepantasan 1:03.873s.

Dalam pada itu, hasrat Malaysia untuk menambah koleksi pingat menerusi acara yang sama bagi kategori lelaki elit musnah selepas Muhammad Fadhil Mohd Zonis sekadar menduduki tempat keempat dengan catatan 1:02.507s pada perlumbaan akhir.

Pingat emas acara itu menjadi milik pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya sementara perak diraih Hsiao Shih Hsin dari Taiwan diikuti pelumba Iran, Mohammad Daneshvarkhourrsm merangkul gangsa. -Bernama

Lihat Komen
ADS