Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TMJ: Biar penaja nilai kenapa liga tak berkembang
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, mentaliti dan sikap kuno pasukan bola sepak tempatan menyebabkan sukan berkenaan tidak boleh berkembang ke peringkat profesional.

Tunku Ismail berkata demikian sebagai mengulas hasrat Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang mahu memotong mata dan menghukum persatuan yang tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

"Saya memahami tindakan FMLLP ini adalah untuk memastikan liga ini berjalan secara profesional dan mahu menunjukkan kepada para penaja yang terdapat permintaan tinggi untuk menjadikan liga ini profesional.

"Walaubagaimanapun saya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana ia akan mewujudkan spekulasi daripada mereka yang kurang bijak dan mengatakan saya atau kelab bola sepak JDT ingin mensabotaj pasukan-pasukan lain yang sedang berada di puncak liga kononnya," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.

Presiden FAM itu berkata, pihak FMLLP tidak perlu mengambil tindakan atau memotong mata pasukan terbabit dan sebaliknya biarkan sahaja mereka terus bertanding agar penaja boleh menilai sendiri situasi sebenar liga bola sepak Malaysia.

"Biarkan para penaja kita yang telah mengeluarkan beratus-ratus juta ringgit melihat sendiri kenapa liga kita tidak boleh berkembang.

"Bukan sahaja mengenai persatuan yang tidak profesional tetapi juga mentaliti para penyokong bola sepak tanah air.

"Walaupun informasi, timeline, penerangan berkait cara keputusan dibuat dan dokumen-dokumen diperlukan telah dikongsikan pihak FMLLP tetapi para penyokong bola sepak tanah air masih tidak faham lagi, saya hanya boleh ucapkan selamat maju jaya," katanya.

Tunku Ismail turut memohon maaf kepada para penaja yang telah mengeluarkan beratus juta ringgit untuk melihat liga bola sepak tempatan diangkat ke tahap profesional.

FMLLP yang merupakan pentadbir Liga Malaysia sebelum ini melalui ketua pegawai eksekutifnya, Kevin Ramalingam menggesa agar semua pasukan melengkapkan segala dokumen agar insiden pasukan dikenakan hukuman pemotongan mata musim lalu tidak berulang.

Pada 13 Feb lalu, media melaporkan enam bekas pemain Kuantan FA mendakwa masih belum menerima sebarang bayaran daripada pihak pengurusan kelab Liga Perdana itu meskipun FAM sudah mengarahkan untuk melangsaikan tunggakan gaji berjumlah RM145,250 pada 15 Januari lalu.

Selain Kuantan FA, pasukan lain termasuk daripada Liga Super seperti Kelantan, Pahang, PKNP FC, Perak, Melaka United dan PKNS FC turut masih mempunyai kes berkaitan tunggakan gaji dan pampasan yang masih lagi menunggu keputusan di pihak FIFA dan FAM.

Sementara Sarawak, Pulau Pinang dan Felcra FC yang bertanding dalam Liga Perdana juga turut mempunyai kes dengan FIFA dan FAM.

Antara syarat penyertaan yang diwajibkan FMLLP adalah pasukan diwajibkan mengemaskini dokumen dan surat yang menyatakan telah menyelesaikan bayaran semua gaji dan tunggakan gaji pegawai dan pemain musim lalu, selain mengemaskini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Nasional (Perkeso).

Lihat Komen
ADS