Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Menteri S'wak: Singkir pemain ada hubungan dengan bookie

Pengurusan bola sepak negeri Sarawak tetap diminta melihat sekiranya ada pemain yang didapati berurusan atau mempunyai unsur ‘hubungan’ dengan ‘bookie’, disingkirkan daripada pasukan negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata memang tidak dinafikan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan dan suatu pendakwaan memerlukan antaranya bukti yang benar-benar kukuh.

Beliau berkata pihaknya akan menyelidik kes pendakwaan serta kertas siasatan untuk melihat sekiranya terdapat unsur-unsur ada ‘hubungan’ antara pemain dengan bookie yang dikesan, tetapi tidak dapat dibuktikan dengan jelas, yang tidak dapat dibawa ke mahkamah.

“… jika ada, rasanya lebih baik pemain-pemain ini, kita rasa lebih bagus mereka tidak bersama kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Seni Sarawak yang disempurnakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di Kuching hari ini.

Pagi tadi, Mahkamah Majistret Kuching membebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan seorang lelaki yang dipercayai ‘bookie’, yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier.

Mereka direman sejak 15 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 kerana dipercayai terlibat dengan perbuatan mengatur perlawanan antara Sarawak menentang Felcra FC pada 10 Feb lepas, yang menyaksikan Sarawak tumpas 2-3, walaupun pada separuh masa pertama ia sudah mendahului dengan jaringan 2-0.

Karim seterusnya menasihatkan supaya pasukan bola sepak negeri serta pihak pengurusannya terus tenang, tabah, bersabar, dan tidak terganggu akal fikiran dalam mengharungi perlawanan seterusnya.

“Ramai ingin lihat pasukan negeri ini terus maju, tidak mahu lihat ia merudum, ini baru tiga perlawanan kita dah jadi begini. Pemain harus ingat – mereka adalah duta kecil kepada negeri,” katanya.

Ketika ditanya sekiranya masalah berkaitan gaji dan pemberian ganjaran boleh menjadi antara punca pemain menjual perlawanan, Karim berkata setakat ini beliau tidak pernah mendengar sekiranya perkara mengenai gaji mahupun ganjaran menjadi isu dalam pasukan negeri.

Namun, katanya, beliau berpandangan soal menjual perlawanan sebenarnya berkaitan dengan “niat”, kerana menurutnya walau gaji atau ganjaran banyak mana diberikan sekalipun, sekiranya mereka berniat jahat, ingin membolot segalanya sebanyak mungkin – mereka tetap akan menjual perlawanan walaupun diberikan gaji atau ganjaran yang tinggi. -Bernama

Lihat Komen
ADS