Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Raul salahkan padang punca kekalahan JDT
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 6:05 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Pengendali sementara Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi berkata kekalahan 0-2 pasukan itu kepada kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An dalam perlawanan Kumpulan H Piala Kelab Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Vinh, Vietnam semalam adalah kerana keadaan padang yang tidak memuaskan.

Longhi mendakwa keadaan padang yang sedemikian menyukarkan lagi mereka bermain menggunakan hantaran pendek.

Bekas pemain antarabangsa Argentina itu, bagaimanapun memuji persembahan anak buahnya pada babak kedua dan yakin mereka akan beraksi dengan lebih baik apabila berhadapan dengan lawan yang sama dalam satu lagi perlawanan di Stadium Larkin pada 24 April depan.

“Dalam babak pertama, kami menghadapi masalah di bahagian tengah. Keadaan padang tidak terlalu bagus untuk kami. Kami cuba bermain hantaran pendek tetapi keadaan padang menyukarkan kami. Jika kami menggunakan hantaran jauh, ia akan memudahkan lawan,” Longhi berkata demikian dalam catatan terkini di laman Facebook JDT: Johor Southern Tigers.

Kekalahan itu menyaksikan Song Lam Nghe An mengambil alih kedudukan teratas Kumpulan H daripada JDT dengan enam mata sementara JDT jatuh ke tempat kedua dengan tiga mata selepas dua perlawanan.

Dalam perlawanan semalam, kelab dari Vietnam itu mendahului melalui jaringan Phan Van Duc pada minit ke-22 sebelum Pham Xuan Manh menjaringkan gol kemenangan pasukannya dalam masa-masa kecederaan.

JDT akan berhadapan juara lima kali LIga Singapura, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura sementara Song Lam Nghe An akan menentang Persija Jakarta dari Indonesia di Stadium Vinh dalam perlawanan ketiga Kumpulan H dan kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung pada 6 Mac ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS