Persatuan sukan yang membuat rayuan mungkin berpeluang menyenaraikan atlet mereka ke temasya Sukan Komanwel 2018 pada 4 hingga 15 April depan, berikutan beberapa kuota tambahan telah diberikan jawatankuasa penganjur kepada Malaysia.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata keputusan mengenai atlet yang akan menyertai kontinjen negara ke Gold Coast, Australia itu akan diketahui Selasa ini, selepas diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM.

"MOM telah dimaklumkan bahawa kemungkinan akan mendapat kuota satu atau dua tempat lagi. Kita menerima banyak rayuan daripada persatuan sukan kebangsaan dan ekoran itu, kita membuat rayuan kepada jawatankuasa penganjur untuk kuota lebih.

"Bukan sahaja Husniah (Zaidatul Husniah Zulkifli daripada sukan olahraga) tetapi juga beberapa atlet seperti daripada sukan menembak, triathlon dan ping pong turut mengemukakan rayuan mereka untuk bertanding pada Sukan Komanwel.

"Kita akan tunggu keputusan Lembaga MOM yang akan bermesyuarat Selasa ini. Kita juga akan muktamadkan senarai atlet dalam kontinjen negara,” katanya yang ditemui selepas acara Larian Ria Sukan Asia ke-18 Jakarta-Palembang di Dataran Merdeka hari ini.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini mengesahkan seramai 12 atlet akan beraksi di Gold Coast, namun mereka mengemukakan rayuan kepada MOM untuk menambah seorang lagi menjadikan 13 secara keseluruhannya.

Jika rayuan itu diluluskan, impian ratu pecut negara, Zaidatul Husniah, untuk beraksi dalam Sukan Komanwel mungkin akan menjadi menjadi kenyataan.

Berdasarkan prestasi terkini, Zaidatul Husniah mencatatkan masa 11.82 saat dalam acara 100m pada kejohanan Pra Sukan Asia, Indonesia baru-baru ini.

"MOM telah menetapkan kriteria tertentu sebagai kelayakan kepada atlet menyertai Sukan Komanwel tapi pada masa sama, kita juga mahu memberi peluang kepada atlet muda sebagai persediaan ke Sukan SEA 2019, serta Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun,” katanya.

Sementara itu, mengenai acara larian ria hari ini, Low berpuas hati dengan penyertaan rakyat Malaysia iaitu melebihi 1,600 peserta.

"Acara ini untuk memupuk kesedaran dalam kalangan orang ramai bahawa Sukan Asia akan berlangsung pada Ogos ini,” katanya.

Pada acara larian hari ini, peserta berusia 17 tahun, Rohit Rhaarje Singh Bhatt mengungguli kategori lelaki selepas mencecah garisan penamat dengan catatan masa 40 minit 54 saat, manakala bagi kategori wanitapula dimenangi Nurhidayah Hasanuddin selepas mencatat masa 54:06s.

Turut serta dalam perlumbaan yang dilepaskan Setiausaha Agung Komite Olimpiade Indonesia (KOI) Hellen Sarita de Lima pada 7 pagi ini ialah ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 Datuk Seri Abdul Azim MohdZabidi dan juga Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.

Sebelum Malaysia, larian ria yang diperkenalkan sejak Sukan Asia Doha 2006 itu telah diadakan di beberapa negara termasuk Pakistan, Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain serta Lubnan.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu lelaki dan wanita (15 tahun dan ke atas) membabitkan jarak 10km dan lima km pula terbuka kepada kanak-kanak 12 tahun ke bawah dan warga emas.

Peserta yang menamatkan larian dalam kelompok 25 dan 24 teratas masing-masing dalam kategori lelakidan wanita, menerima sijil serta pingat khas diikuti 10 peserta teratas yang menamatkan larian sejauh lima km turut menerima hadiah sama.

Sukan Asia 2018 akan berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 Sept di Indonesia. -Bernama