Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Hanya presiden FAS, MB mampu selesai isu stadium'

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal bertegas isu penggunaan Stadium Shah Alam bagi pasukannya musim ini hanya boleh diselesaikan melalui pertemuan empat mata antara beliau sendiri dengan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau mengulas kenyataan Exco Sukan Selangor Amirudin Shari yang mempersoalkan keengganan Subahan berjumpa dengannya berhubung kemelut itu.

Subahan berkata FAS sudah membuat permohonan kepada Amirudin sejak setahun lalu tetapi masalah masih berlaku.

"Kalau setakat exco saya rasa tak perlu. Kita sudah banyak kali hantar surat dan buat permohonan tapi tak ke mana juga, ini pun bukan cerita baru tapi sudah berlanjutan setahun lebih.

"Hanya menteri besar selaku ketua negeri dan saya selaku presiden yang boleh buat keputusan untuk menyelesaikannya. InsyaAllah boleh (yakin dapat diselesaikan dengan menteri besar)," katanya (gambar) kepada Malaysiakini.

Minggu lalu, Amiruddin menerusi kenyataan di Twitter berkata pihaknya telah menghantar surat kepada FAS untuk berbincang mengenai isu tersebut tetapi ditolak FAS yang bertegas mahu bertemu Azmin.

Beliau mempersoalkan keputusan itu dan berkata Naib Presiden FAS K Palanisamy sebelum ini sudah bertemu dengan Azmin dan kemudiannya diminta untuk membincangkan perkara itu dengan beliau selaku exco yang bertanggungjawab.

"Isyarat menteri besar jelas mahukan saya mewakili kerajaan negeri dalam perkara ini. Jika Subahan dapat temui menteri besar, beliau akan diminta bertemu saya kembali," kata Amirudin (gambar).

Amirudin juga pengerusi Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab menguruskan Stadium Shah Alam.

Sementara itu Subahan berkata FAS sudah bersetuju dirinya mewakili FAS dalam rundingan dan beliau sanggup berjumpa Azmin pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

"Dekat kedai kopi dan warung boleh, di tempat letak kereta pun boleh. Pada pukul dua pagi pun boleh. Tapi sayalah yang kena pergi jumpa," katanya.

Sudah terlambat

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan negeri boleh mewakilkan Amirudin untuk berjumpa FAS tetapi ia perlu dibuat tanpa syarat.

"Ini kerana menurut surat sebelum ini, Amirudin letak syarat hanya Naib Presiden K Palanisamy dan Datuk Abdul Rauf Ahmad serta exco persatuan Nazzab Hidzan yang boleh berjumpanya," katanya lagi.

Subahan juga berkata jika Amirudin berhajat mahu bertemu dengannya, anggota Dewan Undangan Negeri Batu Caves itu boleh berurusan dengan Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim.

Namun ia bertentangan dengan kenyataan Amirudin di Twitter, yang berkata nama tiga individu itu dicadangkan kerana Subahan enggan berjumpanya.

Dalam pada itu Subahan berkata sudah terlambat untuk Selangor beraksi di Stadium Shah Alam dalam saingan musim ini.

"Kita pun sudah selesa di Stadium Kuala Lumpur dan saya difahamkan tiga pasukan baru bermain di Stadium Shah Alam (PDRM, Felcra FC dan PKNS FC). Saya pun tak mahu rumitkan keadaan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS