Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Fifa terbit buku panduan waktu puasa, solat di Russia
Diterbitkan:  Mar 5, 2018 7:20 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Kira-kira tiga bulan lagi untuk sepak mula Piala Dunia 2018 berlangsung. Kali ini sebuah negara 'komunis' menjadi tuan rumah.

Mengikut jadual ditetapkan perlawanan pembukaan akan berlangsung pada 1 Syawal dan membabitkan tuan rumah - Russia - menentang Arab Saudi.

Pun begitu ia tidak menghalang kemeriahan itu terus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk orang Islam.

Kini Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menerbitkan buku panduan khusus untuk peminat beragama Islam yang berada Russia.

Antara maklumat penting yang akan dimasukkan dalam buku panduan itu nanti ialah butiran mengenai lokasi masjid di Russia, restoran halal serta waktu solat.

Selepas Arab Saudi bertemu Russia dalam tempoh 24 jam berikutnya tiga lagi negara umat Islam akan bertarung.

Mesir bertemu Uruguay, manakala Maghribi dicabar Iran.

Hari-hari berikutnya akan menyaksikan Tunisia, Senegal dan Nigeria turut padang untuk menentang lawan yang ditetapkan mengikut kumpulan masing-masing.

Janji tiada diskriminasi

Piala Dunia 2018 akan berlangsung selama sebulan mulai 14 Jun.

Russia dikenali sebagai sebuah negara yang ditadbir oleh kerajaan yang mengekang rakyatnya, manakala sistem politik Kremlin tidak menyamai amalan kebanyakan negara lain di dunia.

Bagaimanapun 6.5 peratus daripada 144.5 juta penduduknya beragama Islam.

Menurut Setiausaha Agung Fifa, Fatma Samoura, badan induk bola sepak dunia serius untuk memastikan orang Islam yang mengikuti pesta paling berprestij empat tahun sekali itu boleh mengikuti kemeriahan pesta berkenaan tanpa perlu mengorbankan amalan agama masing-masing.

Bercakap kepada Arab News, Fatma dari Senegal itu berkata pada masa sama Fifa juga tetap menghormati semua aspek agama lain.

"Akidah saya ialah sebahagian daripada hidup dan sesiapa yang mengenali saya, mereka tahu saya seorang Muslim dan saya hidup sebagai seorang yang beragama Islam," katanya (gambar).

Kata Fatma, Piala Dunia edisi tahun ini akan menampilkan tujuh pasukan yang memiliki majoriti pemain beragama Islam.

Sebahagian besar peminat pula, katanya, akan berada di Russia sebelum sepak mula berlangsung - bermakna mereka sedang berpuasa Ramadan.

"Kami di Fifa mahu memastikan semua orang Islam - sama ada pemain, kakitangan atau penyokong pasukan - mendapat semua maklumat yang diperlukan.

"Misalnya di mana makanan halal boleh dibeli atau waktu sembahyang serta masjid yang paling hampi," katanya.


Baca Wira umat Islam dalam bola sepak Inggeris


Empat tahun lalu Persekutuan Persatuan-persatuan Muslim Brazil (Fambras) menerbitkan buku panduan setebal 28 halaman berjudul Salam Brazil - Panduan Peminat Muslim sempena Piala Dunia yang diadakan di negara berkenaan.

Ditulis dengan bahasa Inggeris sepenuhnya buku itu memuatkan maklumat mengenai waktu sembahyang serta masjid di semua 12 bandar raya yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014.

Kata Fatma, inisiatif Fambras itu akan dicontohi tahun ini.

"Saya memberi jaminan tiada diskriminasi atau apa saja kepada Muslim di Russia sempena Piala Dunia ini.

"Bantuan yang diberikan seperti mereka berada di negara sendiri kerana Fifa mahu semua orang dapat menikmati Piala Dunia dengan sepenuhnya," kata Fatma.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS