Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Hukuman FMLLP keterlaluan, kata bekas pemain kebangsaan
Diterbitkan:  Mar 10, 2018 5:47 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir beranggapan hukuman yang dikenakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) kepada 10 pasukan Liga Malaysia yang gagal melengkapkan pendaftaran adalah terlalu tegas.

Justeru, Jamal mencadangkan agar 10 pasukan berkenaan meninggalkan Liga Malaysia sekiranya FMLLP berkeras dengan hukuman itu.

"FAM tidak seharusnya terlalu bertegas dan menunjukkan kuasa dengan mengenakan hukuman berat kepada ahli gabungan yang terbukti melakukan kesalahan.

"Pada saya, hukuman denda itu bukan tindakan bijak kerana lebih banyak mendatangkan kemudratan daripada kebaikan kerana bakal mengundang berlakunya kemelut kewangan.

"Jadi, saya mencadangkan pasukan terbabit menarik diri daripada bersaing dalam Liga Perdana dan Liga Super musim ini sebagai tanda bantahan terhadap keputusan FAM itu," katanya seperti dilapor Berita Harian.

FMLLP sebagai pentadbir Liga M mengenakan denda RM1.5 juta ke atas empat pasukan Liga Super - Selangor, PKNS FC, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Selain itu denda RM500,000 dikenakan ke atas enam pasukan Liga Perdana - Kuantan FA, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang, MISC-MIFA dan UKM FC.

Didik, bukan hukum

Sementara itu, bekas pemain tengah kebangsaan tahun 80-an, Bakri Ibni turut berkongsi pendapat sama.

Meskipun bersetuju dengan tindakan FMLLP menghukum pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran, Bakri berpendapat kadar hukuman FMLLP itu keterlaluan dan tidak masuk akal.

"Saya bersetuju FMLLP mengenakan denda ke atas persatuan atau kelab yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka berbanding tindakan memotong mata pasukan seperti dilaksanakan musim lalu.

"Ia sebagai pengajaran kepada mereka, sesuai dengan bola sepak kita yang sudah berstatus profesional. Tapi, berpada-padalah menjatuhkan hukuman, ikut kesesuaian liga kita, bukan mengikut cita rasa sendiri.

"Hukuman itu biarlah 'masuk akal'. RM1.5 juta dan RM500,000 itu bukan kecil, ia boleh melumpuhkan pasukan. Sepatutnya denda RM100,000 atau RM50,000 sudah memadai," katanya dipetik dari sumber sama.

Tambah Bakri, perlu ada ketetapan dalam hukuman yang dikenakan dan bukannya mengikut keadaan agar persatuan atau kelab maklum risiko yang bakal dihadapi jika melanggar undang-undang berkenaan.

"Malah, saya yakin pendekatan mendidik lebih berkesan daripada menghukum kerana walaupun sudah bergelar profesional, kelab-kelab di Malaysia masih dalam proses pembelajaran untuk memahami apa itu profesional," kata Bakri.

Sebelum ini, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pihaknya tidak menghalang pasukan yang mahu menarik diri jika tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

Lihat Komen
ADS