Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Shahidan bantu PFA atasi masalah kewangan
Diterbitkan:  Mar 10, 2018 8:37 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan kesanggupan membantu menyelesaikan masalah kewangan dihadapi persatuan itu demi membangkitkan semula pasukan Singa Utara dalam kancah liga Malaysia (Liga-M).

Kata Shahidan Presiden PFA Ir Shaharuddin Ismail mengadakan pertemuan dengannya Jumaat lalu bagi membincangkan mengenai masalah berkenaan selepas penaja utama menarik diri pada saat akhir.

"Tentang masalah tunggakan gaji, beliau (Shaharuddin) ada mintak tolong, jadi saya akan tolong selesaikan minggu depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Jalinan Rakyat Parlimen Arau di Arau, Perlis hari ini.

Beliau mengulas kemelut kewangan melanda PFA yang kini beraksi dalam Liga FAM, sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain Perlis tertunggak sejak lebih sebulan lalu.

Ditanya adakah beliau bersedia kembali menerajui PFA, Shahidan berkata buat masa ini beliau fokus untuk menyelesaikan masalah kewangan, sekali gus berusaha membantu agar pasukan itu kembali layak ke Liga Premier, seterusnya Liga Super.

"Saya sedia kembali (sebagai presiden) tapi akan bagi peluang kepada kawan-kawan dahulu.

"Saya akan tolong dari segi kewangan... selepas ini kita berusaha mentadbir bersama-sama agar kembali ke zaman kegemilangan, tapi tengok dulu kedudukan saya selepas pilihan raya umum nanti," katanya.

Pada 2013, FAM mengenakan hukuman terhadap Shahidan iaitu digantung selama 30 bulan (tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak) dan dikenakan denda keseluruhan RM39,000.

Hukuman itu diputuskan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati Shahidan membuat kenyataan menyentuh pentadbiran FAM, sekali gus melanggar Artikel Statut 88.

Selain hukuman itu, Shahidan turut hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Sepanjang Shahidan menerajui PFA sejak 1998, skuad Singa Utara pernah menjulang Piala Malaysia pada 2004 dan 2006.

- Bernama

Lihat Komen
ADS