Acara Giro d'Italia di Baitulmuqaddis mesti dibantah
Putrajaya didesak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan penganjuran kejohanan lumba basikal Giro D’Italia di Baitulmuqaddis.
Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata langkah itu sejajar dengan pendirian ditekankan kerajaan Malaysia berhubung status bandar berkenaan yang kini diiktiraf Washington sebagai ibu negara Israel.
Kata Khalid, banyak negara Eropah turut membantah penganjuran kejohanan berkenaan.
"Tapi kita agak terkejut dengan kesunyian reaksi kerajaan Malaysia, lebih-lebih lagi kerana perdana menteri pernah memberikan ucapan berapi-api membantah pemindahan ibu kota Israel ke Baitulmuqaddis.
"Begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang tidak mengeluarkan apa-apa pendirian berhubung acara tersebut," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.
Terdahulu beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menerima kunjungan kumpulan pendesak yang menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Israel berkeras mahu Baitulmuqaddis
Pengerusi Boycott, Divestment & Sanction (BDS) Malaysia, Mohd Nazari Ismail berkata memorandum tersebut dibuat bagi menggesa kerajaan mengarahkan wakilnya menyatakan bantahan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Kata Mohd Nazari, Malaysia bertanggungjawab memaklumkan kepada UCI bahawa penganjuran Giro d’Italia di Baitulmuqaddis bertentangan dengan resolusi Perhimpunan Agung PBB yang tidak mengiktraf bandar berkenaan sebagai ibu negara Israel.

Menurut Khalid sepatutnya kejohanan Giro d'Italia wajar dikekalkan lokasinya di Itali saja.
"Tidak ada sebab mengapa ia harus diadakan di Baitulmuqaddis," katanya.
Mengulas lanjut Khalid berkata walaupun acara itu berbentuk sukan ia tetap memberi implikasi serta menyampaikan mesej tersirat bahawa usaha mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sedang digiatkan.
"Sebab itu kami memberikan sokongan sepenuhnya kepada desakan BDS Malaysia supaya program ini dikekalkan tempat permulaannya di Itali seperti sebelum ini," katanya.
Giro d’Italia dianjurkan di luar Eropah buat pertama kali dan Israel akan menjadi tuan rumah untuk perlumbaan peringkat 1 hingga 3 pada 4 Mei hingga 6 Mei.
Baca Penjaga gol pusing belakang ketika penalti
Pada Nov 2017 penganjur Giro d’Italia dan Tel Aviv berbalah mengenai nama rasmi tempat perlumbaan itu dimulakan.
Awalnya atas nasihat kerajaan Itali penganjur mahu ia dikenali sebagai Baitulmuqaddis Barat namun dibantah Menteri Kebudayaan dan Sukan Israel Miri Regev.
“Di Baitulmuqaddis, ibu negara Israel tiada timur atau barat,” katanya dipetik Times of Israel.
Selepas diancam dengan penarikan diri, pengelola akur dengan tuntutan Israel dan menukar nama tempat berlepas itu kepada “Baitulmuqaddis”.

