97.5 peratus persiapan LTDL selesai
Persiapan penganjuran edisi ke-23 perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) kini sudah 97.5 peratus selesai sebelum acara jelajah berprestij itu bermula lima hari sahaja lagi.
Ketua Pegawai Operasi Ciclista Sports Sdn Bhd, Shahirudeen Seeni Mohamad berkata baki 2.5 peratus lagi adalah melibatkan kerja-kerja seperti penyediaan kenderaan, sistem komunikasi dan pakaian untuk jelajah berstatus 2.HC dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), yang bermula 18-25 Mac ini.
“Kami sudah sedia...fokus 200 peratus kami kini diletakkan dalam perlumbaan dengan melengkapkan kenderaan, kebolehgerakan dan kerja-kerja memasang pelekat, sistem komunikasi dan lampu isyarat pada kenderaan sebelum pelancaran pasukan pada Jumaat ini di Dataran Lang, Pulau Langkawi.
“Sebanyak 180 unit kenderaan yang ditaja oleh Volkswagen telah di terima. Seorang pelumba dari pasukan Astana Pro Team telah pun sampai hari ini, manakala 90 peratus pelumba dijangka tiba, esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengenalan penaja bagi konvoi ‘calvacade’ LTdL 2018 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai penajaan, beliau berkata, selain geran RM11.3 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan, setakat ini pihaknya telah menerima tajaan wang tunai bernilai RM300,000 daripada Nur Power Sdn Bhd (Nur Power) untuk jelajah yang melibatkan lapan peringkat itu.
Selaku penganjur perlumbaan kali ini, Ciclista Sports Sdn Bhd juga telah menerima tajaan bernilai lebih kurang RM500,000 berbentuk barangan daripada penaja-penaja lain, tidak termasuk tajaan kenderaan daripada pihak Volkswagen.
“Kerajaan negeri Terengganu pula akan menanggung semua perbelanjaan ketika kita berada di negeri itu, yang melibatkan kos lebih kurang RM200,000. Saya rasa tiada lagi penaja baharu selepas ini kerana agak terlewat untuk membuat penjenamaan selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Shahirudeen berkata sebanyak 27 kenderaan konvoi ‘calvacade’ atau perarakan kenderaan yang mewakili penaja di laluan-laluan LTdL, bakal memeriahkan lagi suasana perlumbaan itu.
“Konvoi ini akan bergerak sejam lebih awal sebelum kelompok pelumba tiba untuk menghangatkan suasana di sekitar laluan. Dengan penjenamaan semula yang dinamakan sebagai Calvacade & LePARK@LeTour, konvoi ini juga akan membuka gerai pameran dan jualan dengan memberikan barangan percuma kepada pengunjung.
“Dari segi promosi, memandangkan LTdL kali ini jatuh pada cuti sekolah, mungkin tak ramai murid sekolah yang akan hadir menyokong di sekitar laluan. Jadi kita ada bincang dengan beberapa pejabat pendidikan daerah, di mana kita akan memberikan barangan dan baju percuma untuk menggalakkan murid sekolah hadir menonton,” katanya.
Sejumlah 132 pelumba mewakili 22 pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan bakal memberikan saingan sengit pada edisi kali ini yang akan meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,341km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.
LTdL 2018 akan bermula dari Kangar ke Kulim dengan jarak 147.9km; diikuti laluan Gerik- Kota Bharu (208.3km); Kota Bharu-Kuala Terengganu (166.0km); Dungun-Pekan (177.6km); Bentong-Cameron Highlands sejauh 169.4km dengan pendakian berstatus Hors di Tanah Rata; Tapah-Tanjung Malim (108.5km); Nilai-Muar (222.4km) dan tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau-Kuala Lumpur (141.1km).
-Bernama

