Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Azizulhasni, Jun Hoong dinobat olahragawan dan olahragawati 2017

Atlet kebangsaan berstatus juara dunia tahun lalu iaitu jaguh trek, Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong masing-masing dinobatkan olahragawan dan olahragawati kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2017.

Mohd Azizulhasni terkenal dengan jolokan ‘The Pocketrocket Man’ melakar sejarah dengan memenangi pingat emas dalam acara keirin di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2017 di Hong Kong dan Jun Hoong pula cemerlang dengan pingat emas acara 10 meter platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary tahun lepas.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM 20,000 masing-masing kepada Mohd Azizulhasni dan Jun Hoong, pada malam Anugerah Sukan Negara 2017 (ASN 2017) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Tahun lalu merupakan pencapaian cemerlang Mohd Azizulhasni, 30, apabila meraih pingat emas dalam acara sprint di Kejohanan Trek Asia 2017 di India dan beliau mendominasi pingat emas acara keirin dan sprint pada Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29.

Sementara itu, Jun Hoong menyumbang pingat gangsa gandingan bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama di Budapest.

Gandingan penerjun berusia 28 tahun itu bersama Pandelela turut cemerlang dengan pingat perak dalam acara yang sama di Kejohanan Siri Dunia di Beijing dan Kanada diikuti dengan pingat gangsa di Siri Dunia Guangzhou, China.

Atlet kelahiran Perak itu turut menyumbang pingat emas dalam acara satu meter papan anjal individu wanita pada penampilan Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Dalam pada itu, jaguh dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli (gambar) dinobatkan olahragawan paralimpik kebangsaan dengan kejayaan cemerlang pingat emas Kejohanan Dunia Olahraga Para 2017 dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di London.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio itu juga memecah rekod dunia dengan catatan 17.29 meter memadam rekod miliknya sendiri 16.84 meter yang dilakukannya di sukan tersebut.

Muhammad Ziyad turut menyumbang pingat emas pada Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 termasuk memecah rekod kejohanan dengan lontaran sejauh 16.8 meter. Beliau turut meraih pingat gangsa pada penampilan pertamanya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau menerima RM20,000, piala pusingan, piala iringan serta sijil yang disampaikan oleh Sultan Muhammad V.

Bagaimanapun, kali ini tiada penerima untuk Olahragawati Paralimpik wanita kebangsaan.

Dalam pada itu, pasukan lelaki kebangsaan paling cemerlang adalah skuad hoki lelaki yang layak beraksi di Piala Dunia Bhubaneswar, India tahun ini.

Skuad itu meraih pingat emas di Liga Dunia pusingan kedua di Dhaka dan menduduki tempat keempat pada Liga Dunia Semi Final di London serta mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Skuad hoki kini menduduki ranking ke-12 dunia turut meraih pingat perak di Kejohanan Piala Hero Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh.

Pasukan tenpin boling wanita pula dinobatkan pasukan wanita kebangsaan terbaik apabila muncul juara dunia berpasukan wanita di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Senarai penerima anugerah:

  • Olahragawan Kebangsaan : Mohd Azizulhasni Awang
  • Olahragawati Kebangsaan : Cheong Jun Hoong
  • Olahragawan Paralimpik Kebangsaan : Muhammad Ziyad Zolkefli
  • Pasukan Lelaki Kebangsaan : Skuad hoki
  • Pasukan Wanita Kebangsaan : Skuad tenpin boling
  • Jurulatih Lelaki Kebangsaan : Mohd Poad Kassim (Olahraga)
  • Jurulatih Wanita Kebangsaan : Yoong Sze Yuin (Bola Keranjang)
  • Anugerah Tokoh Sukan : Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar (Persatuan Bola Sepak Malaysia)
  • Anugerah Kepimpinan Sukan : Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (Persekutuan Lawn Bowls Malaysia)

Anugerah Khas:

  • Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT)
  • Hafizh Syahrin Abdullah (Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP)

-Bernama

Lihat Komen
ADS