Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM tak rela kehilangan TMJ
Diterbitkan:  Mar 16, 2018 12:10 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kata setiausaha agungnya Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam kenyataan awal pagi tadi, Hamidin yang terkejut dengan pengumuman Tunku Ismail semalam berkata ia sebenarnya luahan kekecewaannya terhadap segelintir pihak yang menyalahkannya setiap kali ranking skuad negara jatuh.

"Tunku Ismail tidak perlu sebenarnya untuk meletak jawatan sebagai Presiden FAM, hanya kerana desakan segelintir netizen ini. Sudah banyak kejayaan ditempa baginda sepanjang sepuluh tahun menjadi presiden," katanya.

Justeru beliau berkata jawatankuasa eksekutif FAM setuju untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Tunku Ismail kerana tiada lagi yang lebih layak mengemudi badan induk bola sepak negara itu daripadanya.

"Takkanlah kerana isu ranking kita rela kehilangan seorang individu yang cukup berwibawa, bersemangat dan bersungguh-sungguh mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

"Kita juga akan kehilangan penaja dan saya tidak dapat membayangkan siapa yang layak untuk menggantikan tempatnya," katanya lagi.

Beliau berkata wakil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Asia (AFC) turut merasakan Tunku Ismail perlu kekal sebagai presiden FAM dan telah menghubunginya untuk bertanya tentang perkara itu.

Tunku Ismail dalam satu kenyataan semalam membayangkan melepaskan kedudukan sebagai presiden FAM, kurang sepuluh hari sebelum genap setahun memegang jawatan itu.

"Baru-baru ini kedudukan pasukan kebangsaan jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar. Oleh itu saya rasa presiden FAM harus letak jawatan," katanya.

Menurut kedudukan terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, Malaysia berada pada kedudukan 178, berbanding 175 pada Januari lalu.

Beliau menegaskan Tunku Ismail masih sebagai presiden FAM yang sah.

"Mengikut prosedur, mana-mana ahli jawatankuasa eksekutif yang mahu letak jawatan perlu menghantar surat rasmi dan jawatankuasa eksekutif FAM berhak menerima atau menolak peletakan jawatan itu," katanya.

Lihat Komen
ADS