PKNS FC diarah bayar RM510,000 kepada Elavarasan sebelum 20 April

   

Kelab PKNS FC diarah membayar tuntutan pampasan baki kontrak bekas ketua jurulatih, E. Elavarasan, berjumlah RM510,000 sebelum 20 April ini.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan oleh Elavarasan terhadap kelab itu iaitu RM450,000 sebagai pampasan baki kontrak dan tunggakan bayaran pelantikan sebanyak RM60,000.

Pengurusan kelab PKNS FC ‘merehatkan’ Elvarasan selepas 14 perlawanan Liga Super musim lepas bagi memastikan pasukan itu terus bersaing dalam saingan liga tersebut dan mengelakkan daripada tersingkir ke Liga Premier musim ini.

Pengerusi Jawatankluasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub dalam kenyataan semalam berkata jika PKNS FC gagal membayar tuntutan itu sebelum tempoh tersebut, maka perkara itu akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa itu kelmarin.

Selain Elavarasan, pemain tengah, Brendan Gan juga berjaya dalam tuntutan tunggakan gajinya berjumlah RM100,000 daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Tuntutan pengadu telah diterima sepenuhnya dan Kelantan FA dikehendaki membayar tunggakan gaji sebanyak RM100,000 (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) selewat-lewatnya pada 20 April 2018," katanya.

Jika KAFA gagal membayar jumlah yang dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, Joehari berkata perkara berkenaan juga akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM, untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Dalam pada itu, pasukan Liga Premier 2018, Persatuan Bola Sepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) pula perlu melunaskan tunggakan gaji 15 pemainnya dalam tempoh 30 hari.

"Tuntutan dikemukakan oleh 15 pemain terhadap Kuantan FA berhubung tunggakan gaji seperti jumlah dinyatakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan.

"Jika Kuantan FA gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi," katanya.

Mengikut senarai tuntutan yang disertakan dalam kenyataan itu, Kuantan FA perlu melunaskan tunggakkan berjumlah RM423,000 kepada 15 pemainnya.

Antara pemain yang terlibat ialah Abdul Wafiy Abdul Ghafar (RM60,000); Mohd Hazuan Mohd Daud (RM45,000); Isskandar Zulkanaen Ibrahim (RM35,000); Mohd Ameer Syafeeq Bin Aziz (RM35,000); Khairul Nidzam Muhammad Nor (RM33,000); Mohamad Shafiq Razali (RM33,000); dan Muhammad Rafizi Zahari (RM30,000).

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.