Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM kecewa tapi mahu Cheng Hoe diberi peluang
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 6:34 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM) mengakui keputusan seri 2-2 dengan Mongolia pada perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi sebagai mengecewakan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata peminat bola sepak tempatan harus memberi peluang kepada Ketua Jurulatih Negara, Tan Cheng Hoe membuktikan kemampuannya.

"Apa pun kita semua perlu realistik memandangkan ini perlawanan pertama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe yang baru berkumpul selama lima hari sejak Ahad lalu.

"Beliau masih dalam tempoh permulaan untuk membina kekuatan pasukan bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang akan berlangsung dalam tempoh tujuh atau lapan bulan lagi iaitu bermula 8 November depan," katanya dalam kenyataan.

Hamidin berkata barisan kejurulatihan masih cuba mencari kombinasi terbaik dan membentuk persefahaman mantap di kalangan pemain.

"Saya yakin mereka akan tampil dengan aksi lebih baik pada perlawanan-perlawanan akan datang termasuk bertemu Lebanon pada 27 Mac ini dan Nepal pada 1 April," katanya.

Termasuk malam tadi, skuad negara terus kempunan untuk mencipta kemenangan dalam 11 perlawanan.

Kali terakhir kejayaan skuad negara adalah ketika menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi sulung Piala Suzuki AFF 2016 di Yangon, Myanmar pada 20 November 2016.

"Memang jika berdasarkan ranking Malaysia di kedudukan ke-178 dunia berbanding Mongolia ke-189 dunia, kita sepatutnya menang perlawanan ini tetapi selepas dua kali mendahului, kita dibolosi dua gol mudah yang berpunca daripada kesilapan individu dan sedikit kelekaan.

"Nasib juga nampaknya seakan tidak memihak kepada kita apabila tandukan Fadhli Shas terkena tiang dan sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor menggegar.

"Jika tidak, sekurang-kurangnya kita sudah berjaya menamatkan kemarau tanpa kemenangan selama 16 bulan ini," katanya.

Lihat Komen
ADS