Malaysiakini

'Maaf, waktu saya presiden, kita tak pernah menang'

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ismail Sultan Ibrahim memohon maaf kepada pasukan kebangsaan kerana Harimau Malaya tidak pernah menang selama beliau menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Justeru, dengan pemergiannya, Tunku Mahkota Johor Tunku berharap keadaan itu akan berubah.

“Sekarang saya sudah tiada dan saya harap anda semua akan menang.

“Bagaimanapun doa dan sokongan saya sentiasa bersama para jurulatih dan pemain yang mewakili pasukan kebangsaan,” katanya.

Tunku Ismail, dengan gaya ranggi jaket kulit dan rantai, pada Ahad lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden FAM setelah genap setahun berkhidmat.

Beliau memberi alasan “seekor harimau yang tidak patut berkhidmat untuk kambing biri-biri”, setelah dipersalahkan dalam kejatuhan ranking negara.

Bagaimanapun, beliau dilantik sebagai pengerusi Malaysia Football League (MFL), yang menguruskan Liga Malaysia.

Peletakan jawatan itu dibuat dua hari selepas Harimau Malaya diikat 2-2 dengan pasukan semi pro yang ranking dunianya lebih rendah, Mongolia.

Menulis di Facebook rasmi JDT semalam, Tunku Ismail juga percaya terhadap kebangkitan pasukan bola sepak negara suatu hari lagi.

“Sekali lagi saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua,” katanya.