Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berjanji untuk mengadakan Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kelantan jika BN berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Jelas Khairy, sudah tiba masanya perubahan dilakukan di Kelantan bagi memajukan bidang sukan di negeri itu.

"Kita bukan buat janji PRU, tapi kita telah buktikan pembangunan terus dinikmati di Kelantan dan Kompleks Sukan Komuniti bernilai RM4.5 juta akan dibina dalam masa terdekat di Tanah Merah.

"Saya berjanji sebagai Menteri Belia dan Sukan apabila Kelantan jadi milik BN, maka Sukma akan dianjurkan di negeri ini sebagai tuan rumah," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Khairy berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah, hari ini.

Pada tahun ini, Perak akan menjadi tuan rumah Sukma 2018. Sementara Sukma 2020 dijadualkan berlangsung di Johor.

Kelantan satu-satunya negeri Pantai Timur di Semenanjung yang tidak pernah menganjurkan temasya sukan yang dianjurkan dua kali setahun itu.

Pahang menjadi tuan rumah Sukma 1996, sementara Terengganu pada 2008.