Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PKNP FC akur kelebihan Felda United
Diterbitkan:  Mar 30, 2018 5:02 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Pasukan PKNP FC melakar sejarah tersendiri pada penyertaan sulung dalam saingan Piala FA musim lalu selepas berjaya mara sehingga ke suku akhir, sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh juara 2017, Kedah.

Kecemerlangan tersebut diteruskan dalam saingan musim ini apabila skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu mudah mengatasi Kuantan FA 3-0 pada aksi pusingan ketiga, sekali gus mengesahkan tempat di suku akhir untuk berdepan finalis 2014, Felda United.

Bagi Abu Bakar, kemenangan adalah matlamat utama membolehkan pasukannya mencatat satu lagi sejarah, namun menegaskan cabaran skuad ‘The Fighters’ itu tidak boleh dipandang ringan terutama selepas pernah dikecewakan 4-5 pada peringkat sama dalam saingan Piala Malaysia 2017, meskipun meraih kemenangan 3-1 pada aksi pertama di laman sendiri.

“Kami sedar kekuatan dan kelebihan yang dimiliki pasukan Felda United. Permainan mereka lebih tersusun berbanding musim lepas dan ia dibuktikan apabila tiada satu pasukan pun dapat menggugat mereka dalam saingan Liga Perdana setakat ini.

“Kekuatan mereka (Felda United) bukan sahaja terletak pada gandingan penyerang import, tetapi jentera di bahagian tengah dan sayap juga banyak memainkan peranan ketika menyerang. Jadi ia bukan satu tugas mudah untuk kami melepasi cabaran mereka nanti.

“Pemain (PKNP) perlu belajar daripada kesilapan lalu di mana kita mensia-siakan peluang keemasan mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas tewas 1-4 di tangan mereka meskipun mempunyai bekalan selesa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, beliau optimis dengan taktikal bertahan yang lebih berdisiplin, barisan pemainnya mampu menyekat ancaman gandingan import Felda United dari Brazil, Thiago Augusto-Gilberto Furtunato yang sudah meledak 12 gol sepanjang musim ini.

“Pemain perlu menunjukkan semangat juang yang tinggi selain kekal berdisiplin untuk menutup segenap ruang mereka (Felda United) kerana sedikit sahaja kealpaan, ia pasti akan memberi kesan negatif kepada pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar memaklumkan dua pemain, Mohammad Hafiz Ramdan dan Clovis Franklin kini terpaksa menjalani sesi pemulihan selepas mengalami kecederaan, namun optimis dua pemain itu kembali cergas menjelang pertembungan pertama di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 7 April ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS