Zaquan: Jangan terbuai kemenangan semalam
Setelah menamatkan kemarau kemenangan sejak November 2016, dengan membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan antarabangsa semalam, kapten pasukan Harimau Malaya menggesa rakan sepasukannya agar tidak terus terbuai dengan kejayaan itu.
Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang meledak empat jaringan semalam, memuji semangat juang pasukannya dan menyifatkan kemenangan itu adalah hasil usaha keras rakan-rakan dan taktikal jurulatih, Tan Cheng Hoe yang amat berkesan.
“Kemenangan ini bukan bererti kita boleh mendongak tinggi ke langit, sebaliknya masih banyak yang harus diperbaiki dan jauh lagi perjalanan yang perlu kita ditempuhi.
“Peringatan itu untuk diri saya juga agar tidak terbuai dengan kemenangan semalam. Saya berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan pada perlawanan akan datang,” katanya selepas perlawanan semalam.
Beliau juga berterima kasih kepada semua ponyokong tempatan yang memberi sokongan sama ada datang ke stadium, mahupun memberi sokongan dari jauh.
“Ini baharu permulaan. Kami akan berusaha lebih baik pada perlawanan seterusnya. Terima kasih juga kepada peminat,” katanya.
Mohd Zaquan turut menempelak suara sinis yang seperti memperkecilkan kemenangan skuad kebangsaan ke atas Bhutan semalam.
“Tak kisahlah lawan Bhutan atau sebagainya, yang penting Harimau Malaya kembali mendapat sentuhan kemenangan yang amat dicari,” katanya.
Ia juga merupakan kemenangan pertama kepada Cheng Hoe, selepas mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada Disember lepas, setelah Nelo Vingada mengosongkan tempat itu.
Menerusi dua perlawanan bawah kendalian Cheng Hoe, Malaysia mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa di venue sama pada 22 Mac lepas, sebelum tewas 1-2 kepada Lubnan di Beirut dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lepas. -Bernama

