Selepas menerima peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai presiden FAM, persatuan itu turut mengedarkan kertas pencalonan untuk mengisi kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata kertas pencalonan bagi pemilihan jawatan presiden FAM itu telah mula diedarkan kepada semua 20 ahli gabungan.

"Mereka perlu menamakan calon pilihan sebelum atau pada tarikh akhir ditetapkan iaitu 11 Mei 2018," katanya kenyataan tersebut.

Terdahulu, mesyuarat exco FAM sebulat suara menerima peletakan jawatan presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Timbalan Presiden Datuk Wira Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku Ismail sebelum ini

Yusoff, timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) akan menjadi pemangku sehingga pemilihan baru 14 Julai 2018 depan.

Perkembangan itu juga menyaksikan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan akan bertanding merebut jawatan presiden selepas mendapat sokongan penuh exco dan TMJ.

Sebagai rekod, Tunku Ismail memegang jawatan presiden sejak 25 Mac tahun lalu melalui Kongres FAM Ke-53 selepas pencalonan beliau tidak dicabar mana-mana individu.

Sementara itu, ahli gabungan FAM perlu menamakan seorang calon untuk diangkat sebagai calom presiden FAM.

Mana-mana individu yang mendapat sekurang-kurangnya satu percalonan layak untuk bersaing merebut jawatan itu.