Ray Wilkins meninggal dunia
Bekas pemain dan penolong pengurus Chelsea Ray Wilkins meninggal dunia di hospital hari ini pada umur 61 akibat serangan jantung.
Perkara itu diumumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab bola sepak Chelsea.
Dalam kenyataan itu, keluarga Ray berterima kasih kepada rakan-rakan dan orang ramai yang memberi kata-kata semangat.
Pengurusan Chelsea turut merakamkan simpati atas kehilangan bekas pemain, kapten dan penolong pengurus Chelsea itu.
Meskipun pernah bermain untuk beberapa pasukan ternama, mendiang mula menempah nama ketika menyarung jersi Chelsea yang merupakan kelab pertamanya sebagai pemain.
Ray bersama The Blues selama hampir enam tahun sejak 1973 sebelum berpindah ke Manchester United pada 1979. Ray sempat menjulang Piala FA pada tahun 1983 ketika bersama Red Devils sebelum meninggalkan pasukan itu pada 1984.
Di peringkat antarabangsa, Ray pernah menjadi kapten pasukan England dan menyumbangkan 3 gol antarabangsa.
Selepas bersara sebagai pemain, Ray kemudian dikenali sebagai pemangku pengurus Chelsea pada 2009.
Ray menghembuskan nafas terakhir di Hospital St George di London dan meninggalkan isteri, dua anak dan enam cucu.

