Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Pendahulu Liga Premier, Felda United mengekalkan kedudukan teratas selepas menang tipis 3-2 ke atas MIFA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad ‘The Fighters’ melebarkan rekod tanpa kalah kepada sembilan perlawanan dan mengutip 23 mata.

Pada aksi di Petaling Jaya, pasukan Felda United selesa mendahului 2-0 hasil jaringan pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes seawal minit keenam sebelum D. Christie Jayaseelan menggandakan kedudukan pada minit ke-33.

MIFA, bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sentuhan penyudah pemain import dari Korea Selatan, Bae Beom-Geun pada minit ke-47 dan pemain import dari Liberia, Kpah Sean Sherman, selang seminit kemudian.

Pemain tengah, Muhammad Hadin Azman muncul wira pasukan pelawat apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Sabah mengekalkan kedudukan ketiga liga walaupun seri 1-1 menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Md Rozaimi Abd Rahman terlebih dahulu meletakkan JDT II di hadapan pada minit ke-36 sebelum pemain import dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos Lebron menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah hasil jaringan penyamaan pada minit ke-67.

Dalam pada itu, UiTM FC naik dua anak tangga ke kedudukan keempat selepas menewaskan UKM FC 2-0 di Stadium UiTM, Shah Alam hasil jaringan penalti Dao Bakary pada minit ke-37 dan Lucas Ramon Pugh pada minit ke-90.

Sarawak pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah terikat 1-1 menentang Pulau Pinang di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Pulau Pinang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mohd Alafi Mahmud pada minit ke-68 sebelum Bobby Gonzales menyamakan kedudukan untuk Sarawak, selang seminit kemudian. -Bernama

Lihat Komen
ADS