Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dua pemain badminton digantung 15, 20 tahun
Diterbitkan:  May 2, 2018 11:46 AM
Dikemaskini: 9:02 AM

Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli dan pemain profesional, Tan Chun Seang masing-masing dijatuhi hukuman penggantungan 20 tahun dan 15 tahun daripada terlibat dalam sukan badminton.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjatuhkan hukuman tersebut bermula 12 Januari 2018, selepas kedua-dua pemain itu didapati terlibat mengatur perlawanan.

Zulfadli didapati bersalah kerana terlibat dengan 27 kesalahan melibatkan kes mengatur perlawanan, manakala Chun Seang terbabit dengan 26 kes.

Badan bebas yang mengendalikan kes tersebut hari ini memberitahu, mereka terlibat dengan kesalahan rasuah dalam beberapa siri kejohanan bermula 2013.

“Bagaimanapun, Zulfadli lebih banyak melakukan kesalahan dan melakukannya untuk tempoh lebih lama berbanding Chun Seang, selain dapat dibuktikan telah memanipulasi keputusan dalam empat perlawanan,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Hukuman penggantungan itu bukan sahaja melibatkan pertandingan tetapi meliputi bidang kejurulatihan, pembangunan, selain tidak dibenarkan terlibat dalam bidang pengurusan dan merasmikan sebarang program melibatkan badminton.

Zulfadli dan Chun Seang masing-masing dikenakan denda sebanyak AS$25,000 (RM98,162) dan AS$15,000 (RM58,897). -Bernama

Lihat Komen
ADS