Gandingan Chong Wei - Liow di Bentong tak sebut BN

   

PRU14 | Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berganding dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai di sebuah majlis di Bentong, Pahang hari ini.

Kedua-dua mereka hadir untuk majlis perasmian dewan badminton Kelab Anak Muda Bentong yang baru dibaik pulih.

Liow dilihat tidak memakai baju BN ketika hadir meski diiringi beberapa individu yang memakai baju biru dengan logo parti berkenaan.

Ucapan Liow juga dilihat berhati-hati untuk tidak menyebut BN meskipun penyandang parlimen Bentong itu ada menyebut slogan kempen BN "Hebatkan Negaraku".

Sebaliknya, Liow bercakap tentang keperluan pembangunan sukan di Bentong dan menyatakan penghargaannya terhadap kehadiran Chong Wei.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Chong Wei dilihat dekat dengan kempen pilihan raya.

Pada 2013, Chong Wei bermain dalam perlawanan persahabatan bersama calon Gopeng Ling Hee Leong. Chong Wei merupakan shabat kepada ibu bapa Hee Leong.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.