Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Jurulatih kelahiran Portugal, Eduardo Almeida menjadi ketua jurulatih kedua dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dipecat gara-gara prestasi hambar dan mengecewakan yang ditampilkan skuad Melaka United dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas Sathit Bensoh menjadi jurulatih pertama dipecat oleh Kelantan, Februari lalu, kini pula giliran jurulatih berusia 40 tahun itu atas alasan sama selepas mengharungi lapan perlawanan musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusof Mahadi, berkata keputusan 'merehatkan’ Almeida adalah berkuat kuasa semalam dan tugasnya akan digalas sementara oleh pembantu jurulatih.

Semalam, Almeida tidak berada bersama skuad ketika kalah 2-1 kepada Perak dalam saingan Liga Super.

Selepas lapan perlawanan, bekas juara Liga Perdana musim 2016 itu hanya mengumpul sembilan mata, hasil kemenangan tiga perlawanan dan tewas lima perlawanan, untuk menghuni tangga kesembilan daripada 12 pasukan dalam liga.

MU di zon penyingkiran

Selain itu, skuad tersebut hanya mampu menjaringkan sembilan gol dan bolos 15 gol. Mohd Yusof berkata skuad itu tidak mengulangi nasib sama seperti musim lepas apabila berada di zon penyingkiran sehingga terpaksa memecat ketua jurulatih Eric Williams untuk menyelamatkan keadaan.

Beliau mengumumkan status Almeida kepada pemberita pada majlis perasmian Galeri Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan penyampaian penyerahan tajaan MUSA yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, yang juga presiden MUSA.

Mohd Yusof, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata pihaknya telah menerima cadangan nama jurulatih tempatan dan antarabangsa namun ia memerlukan perkiraan faktor kewangan persatuan.

Bagaimanapun, beliau berkata isu ketua jurulatih pasukan itu diharap dapat diselesaikan sebelum jendela perpindahan kedua berakhir pada 10 Jun ini.

Justeru, beliau meminta penyokong MU sabar dan memberi masa kepada pihak pengurusan untuk memperbaiki kelemahan dan masalah dalam memantapkan semula pasukan tersebut.

Sementara itu, Idris berkata tindakan pihak pengurusan MU merehatkan ketua jurulatih itu adalah keputusan terbaik memandangkan prestasi pasukan tidak seperti yang diharapkan.

“Saya kecewa dengan prestasi MU. Tiada istilah telah bermain dengan baik tetapi kalah,” katanya.


-Bernama

 

Lihat Komen
ADS