Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
The Red Warriors: Fajr Ibrahim kekal ketua jurulatih

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan Fajr Ibrahim masih kekal sebagai pengendali skuad The Red Warriors (TRW) sehingga tamat saingan Liga Super musim ini.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata beliau masih menaruh kepercayaan tinggi terhadap Fajr untuk membina semula kekuatan TRW dengan menggunakan khidmat pemain muda.

“Isu peletakan jawatan dia (Fajr Ibrahim) selesai kerana dia kekal sebagai ketua jurulatih. Sebelum ini dia berhasrat meletak jawatan berkemungkinan disebabkan rasa bertanggungjawab terhadap prestasi TRW yang mengalami kekalahan dua perlawanan berturut-turut," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, media melaporkan hasrat bekas jurulatih Syria itu untuk meninggalkan TRW selepas berang dengan pengurusan KAFA yang disifatkan cukup lemah.

Bibi Ramjani berkata di bawah kendalian Fajr, pasukan Kelantan menunjukkan satu perubahan terhadap corak permainan walaupun masih belum menemui rentak kemenangan.

"Fajr juga berjanji untuk membantu melonjakkan semula nama TRW dalam saingan Liga Super dengan pengalaman yang dimilikinya, oleh itu kami memberikan peluang kepada beliau," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam esok, Bibi Ramjani mahu TRW mencatat kemenangan dalam perlawanan tersebut.

"Kemenangan itu penting bagi memastikan TRW keluar daripada zon ‘merah’ seterusnya layak untuk aksi Piala Malaysia 2018. Mahu atau tidak pasukan perlu menang...hanya kemenangan mampu mengubah kedudukan TRW,” katanya.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga terbawah liga selepas mengumpul lima mata.

 

- Bernama

Lihat Komen
ADS