Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KL terlepas khidmat de Paula
Diterbitkan:  May 5, 2018 9:10 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Pasukan Liga Super Kuala Lumpur terpaksa melupakan khidmat penyerang Guilherme de Paula untuk dua aksi Liga Super selepas pemain kelahiran Brazil itu didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana berkelakuan liar.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata tindakan itu diputuskan ke atas pemain berkenaan yang didapati bersalah menumbuk pemain Selangor, Abdul Halim Zainal pada aksi Liga Super, antara kedua-dua pasukan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 7 April lepas.

Nasib sama turut menimpa Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel Da Silva yang digantung dua perlawanan termasuk satu perlawanan secara automatik selain didenda RM2,000, demikian menurut FAM dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau didapati bersalah kerana mencekik leher dan menolak pemain Selangor, Mohd Amri Yahyah pada aksi Liga Super antara kedua-dua pasukan, 7 April lepas.

Baljit berkata hukuman ke atas kedua-dua individu berkenaan tidak boleh dirayu dan mereka bakal berdepan tindakan lebih tegas jika mengulangi kesalahan yang sama.

Dalam pada itu, pasukan Liga Premier, Felcra FC didenda RM3,000 kerana gagal melunaskan tunggakan gaji kepada bekas pemain dan jurulatihnya, Azi Shahril Azmi dan Yusri Che Lah.

Felcra FC gagal melunaskan tunggakan gaji RM65,000 kepada Azi Shahril selain tunggakan RM120,000 kepada Yusri.

Baljit menegaskan Felcra FC perlu menjelaskan kesemua tunggakan gaji dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, atau berdepan tindakan lebih tegas jika gagal berbuat demikian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS