Timbalan Presiden baru Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi mengakui tidak terlintas di dalam fikirannya untuk menyandang jawatan itu sebelum ini.

Abdul Azim yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) berkata, keputusannya untuk bertanding itu dibuat setelah mendapat sokongan dan kepercayaan daripada beberapa individu yang yakin terhadap kredibiliti serta kemampuannya.

Katanya, beliau turut berjumpa bagi mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Presiden MOM baharu Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan bekas presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuaku Ja’afar.

“Apabila saya telah ‘dihampiri’ supaya bertanding jawatan timbalan presiden ini, pertamanya saya pergi berjumpa Menteri Belia dan Sukan, presiden MOM dan juga bekas presiden MOM yang merupakan antara individu yang mempunyai pengalaman dan pandangan yang luas di dalam arena sukan tanah air.

“Ketiga-tiga individu ini memberikan sokongan yang padu dan disebabkan itu saya membuat keputusan untuk menawarkan diri. Sebelum ini saya tidak terfikir pun untuk duduk di jawatan yang tinggi di dalam MOM,” katanya kepada pemberita selepas sesi pemilihan pucuk pimpinan MOM pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-37 di Wisma MOM, hari ini.

Abdul Azim dilantik sebagai timbalan presiden MOM baharu selepas meraih 54 undian untuk mengalahkan pencabarnya yang merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang memperoleh 43 undi.

Dalam pada itu, beliau menafikan keputusannya untuk bertanding itu berniat menutup peluang individu lain yang lebih senior serta berpengalaman di dalam organisasi tersebut.

“Ia atas desakan kawan-kawan dan memandangkan saya mendapat sokongan yang padu daripada tiga personaliti ini jadi saya tekad masuk bertanding. Saya bukan mahu merampas jawatan sesiapa lagi pun semua sedia maklum bahawa jawatan itu kosong,” katanya.

Dalam pada itu, sesi pemilihan hari ini menyaksikan Mohamad Norza secara rasmi dilantik sebagai presiden baharu MOM selepas menang tanpa bertanding untuk menggantikan Tunku Tan Sri Imran yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatannya yang telah dipegang hampir 20 tahun.

Bagi jawatan Setiausaha Agung, penyandangnya Datuk Low Beng Choo gagal mempertahankan jawatan itu selepas ​tewas tipis dengan hanya satu undi kepada Datuk Nazifuddin Mohd Najib yang mendapat 49 undi.

Lima kekosongan jawatan Naib Presiden pula disandang oleh Datuk Mumtaz Jaffar, Datuk Ong Poh Eng, Datuk Nur Azmi Ahmad, V.Mahinda dan Datuk S.Shamala. -Bernama