The Red Warriors guna pemain import Tunisia

       

Dalam usaha memperkuatkan pasukan The Red Warriors (TRW) menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengikat pemain import baharu dari Tunisia, Alaeddine Bouslimi.

Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain berusia 28 tahun itu dibawa masuk bagi memperkukuh barisan pertahanan pasukan berkenaan.

"Beliau akan digandingkan dengan pemain import dari Brazil, Cassio Francisco di posisi pertahanan bagi menggantikan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim yang berpindah ke pasukan PKNS FC," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, KAFA melakukan rombakan dengan menamatkan kontrak beberapa pemain termasuk pemain import dari Brazil, Bruno Lopez, setelah gagal memberi sumbangan kepada pasukan dalam perlawanan sebelum ini.

Hasrat lepas dua pemain import

Bibi Ramjani berkata Alaeddine yang sebelum ini bermain bersama kelab CS Hamam-LIF, menandatangani kontrak untuk beraksi dengan TRW sehingga November depan.

"Alaeddine dijangka diturunkan pada perlawanan Liga Super apabila Kelantan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Selasa ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata KAFA berhasrat melepaskan dua lagi pemain import pasukan itu, Margaro Gomis (Perancis) dan Do Dong Hyung (Korea Selatan) tidak lama lagi.

"Kita berharap ada pasukan berminat dengan khidmat kedua-dua pemain itu,” katanya.

- Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.