Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Anak Somalia Muslimah pertama jadi pengadil di UK
Diterbitkan:  May 25, 2018 5:17 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Beberapa tahun lalu tekanan dan krisis di Mogadishu memaksa Jawahir Roble dan keluarganya berpindah ke London. Bersama langkah itu ialah harapan untuk menjalani hidup baru.

Dan hidup baru Jawahir bermula daripada insiden yang tidak dirancang.

Suatu hari satu perlawanan liga bola sepak wanita tempatan di barat laut London tidak dapat dilangsungkan kerana kekurangan pengadil.

Penganjur kejohanan itu kemudian bertanya kepada Jawahir: "JJ, boleh tolong tak?"

JJ adalah nama panggilan masyarakat setempat untuk Jawahir. Dan sejak detik itu dia tidak lagi menoleh ke belakang. Dia menekuni minat barunya itu dan terus belajar untuk menjadi pengadil bola sepak.

Kini JJ - atau Jawahir - adalah wanita Islam pertama menjadi pengadil bola sepak di United Kingdom.

Perbezaan Jawahir berbanding pengadil lain memang sangat ketara. Tidak seperti yang lain, dia tetap menjaga auratnya semasa bertugas di atas padang.

Berbaju lengan panjang, berseluar panjang dan bertudung - itulah Jawahir.

Menceritakan pengalamannya Jawahir berkata di peringkat awal dia berdepan dengan pandangan curiga, terutama apabila perlu mengendalikan pertandingan bola sepak lelaki.

"Mereka macam tak percaya, dan ada yang ketawa. Tapi mereka akhirnya akur," katanya.

Kini kata Jawahir pemain bersikap lebih terbuka, malah sebahagiannya sangat memberangsangkan.

Katanya ada pemain lebih gemar perlawanan dikendalikan wanita berbanding pengadil lelaki.

Campurkan budaya, agama

Namun di dalam talian, kadang-kadang ada komen yang tidak disenangi. Misalnya mereka mengaitkan kerjayanya sebagai pengadil dengan Islam.

"Entahlah. Bola sepak memang bukan budaya saya tapi saya lakukan ini untuk mengubah pandangan orang," katanya.

Sebagai muslimah Jawahir berkata Islam tidak menghalangnya untuk mengendalikan perlawanan bola sepak.

"Sebagai penganut Islam, kita perlu menjaga akhlak dan bersederhana ketika melakukan sesuatu yang kita suka.

"Masalahnya ada orang yang mencapur-adukkan agama dengan budaya," katanya.

Melihat ke depan Jawahir berkata kini dia sedang mengikuti kursus pengadil dan akan melanjutkan kerjayanya ke tahap lebih tinggi.

"Dalam tempoh 10 tahun lagi saya berharap dapat menjadi pengadil profesional dan diberi tanggungjawab mengendalikan perlawanan EPL, malah Liga Juara-juara," katanya.

Lihat Komen
ADS