Real Madrid berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ketiga berturut-turut selepas mengalahkan Liverpool 3-1 di stadium NSC Olimpiyskiy di Kiev, Ukraine.

Liverpool yang tampil agresif pada minit awal permainan tersentap apabila penyerang utama Mohamed Salah hanya mampu beraksi sehingga minit ke-29.

Salah yang cedera di bahagian bahu selepas dikasari pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramas digantikan oleh Adam Lallana yang juga baru sembuh daripada kecederaan.

Anak buah Zinedine Zidane tidak menghadapi banyak masalah menepis serangan The Reds dengan sekali-sekala membuat serangan balas.

Pada minit ke-34, giliran pemain pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal diiring keluar akibat kecederaan.

Tandukan penyerang sensasi Christiano Ronaldo pada minit ke-42 ditepis penjaga gawang Loris Karius sebelum disusuli sepakan mudah Benzema untuk bola hinggap di jaring Liverpool.

Bagaimanapun, penjaga garisan mengibarkan bendera offside. 

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Di babak kedua permainan, Real Madrid tidak menunggu lama sebelum sepakan pemain kebangsaan Sepanyol, Isco menggegar palang Liverpool.

Dengan kehilangan Salah, jentera serangan Liverpool yang digalas Lallana, Firminho, dan Mane tidak cukup untuk merobek pertahanan Real Madrid yang diketuai Ramos.

Kesilapan Karius pada minit ke-51 dihukum Karem Benzema yang menghadang bola dari tangan penjaga gawang The Reds itu untuk bergolek masuk dan memberi jaringan pertama untuk Real Madrid.

Anak buah Jurgen Klopp cuba menebus kesilapan itu dengan mengatur serangan.

Gol penyamaan akhirnya hadir pada minit ke-55 selepas sepakan Sadio Mane melepasi Keylor Navas untuk The Kops menarik nafas lega.

Tidak sampai sepuluh minit selepas itu, pada minit ke-64, Liverpool dikejutkan dengan sepakan gunting Gareth Bale yang mengelirukan Karius untuk meletakkan Real Madrid sekali lagi di depan.

Pada minit ke-70, Mane hampir menyamakan kedudukan namun sepakannya sekadar hinggap di tiang gol.

Real Madrid terus mengkucar-kacirkan pertahanan Liverpool dan akhirnya pada minit ke-83, Karius sekali lagi membuat kesilapan apabila gagal menangkap kemas rembatan Bale dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Tertinggal dua jaringan di belakang dengan berbaki kurang sepuluh minit perlawanan, Liverpool cuba bangkit dengan memasukkan Emre Can menggantikan James Milner.

Namun semuanya sudah terlambat. Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan Real Madrid mengesahkan kejuaraan buat kali ke-14.